NIBONG TEBAL : Kementerian Pendidikan mengingatkan semua pihak agar tidak lagi memanipulasi isu penganjuran program dan penyaluran sumbangan kepada sekolah memandangkan ia telah selesai sepenuhnya.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, Jemaah Menteri telah mengekalkan garis panduan sedia ada dan tiada lagi isu berbangkit berhubung perkara terbabit.
“Saya rasa isu ini telah pun selesai dan kita bersama dengan keputusan Jemaah Menteri.
“Jadi, saya harap ia tidak berbangkit lagi dan kita tumpukan kepada isu-isu pembangunan pendidikan yang lebih utama ketika ini.
“Selain itu, saya harap juga tidak ada lagi isu-isu ini dimanipulasi oleh mana-mana pihak, kita kekal dengan keputusan Jemaah Menteri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program FIFA Football For School dan Kempen Bola Sepak Wanita FIFA di Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek Permai di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk S. Sivasundaram.
Media sebelum ini melaporkan, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan mengeluarkan kenyataan meminta Fadhlina supaya menjadi Menteri Pendidikan untuk Kerajaan Perpaduan dan rakyat, bukannya ‘Menteri Pendidikan Pas’.
Ia susulan KPM mengumumkan bahawa Jemaah Menteri mengekalkan garis panduan sedia ada berhubung penganjuran program dan penyaluran sumbangan sekolah.
Terdahulu, isu berhubung sumbangan kepada sekolah timbul susulan konsert amal di sebuah sekolah Cina di Sepang baru-baru ini dilaporkan melibatkan penajaan dan sumbangan syarikat minuman keras.-UTUSAN










