KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi memaklumkan bahawa masih belum mendapat penjelasan lanjut daripada Meta Platforms Inc (Meta) berhubung tindakan menurunkan hantaran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Facebook dan Instagram berkaitan Pengerusi Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh.
Bagaimanapun, Menterinya, Ahmad Fahmi Fadzil berkata, tindakan menurunkan hantaran Perdana Menteri itu dipercayai dilakukan di peringkat pengurusan lebih ‘tinggi’ oleh firma media sosial tersebut.
Beliau diberitahu oleh pegawai Meta di peringkat rantau Asia bahawa pihak platform itu tidak tahu menahu mengenai penurunan hantar Anwar.
“Mereka (Meta Inc rantau Asia) beri bayangan tindakan ini bukan di peringkat mereka.
“Kemungkinan ia berlaku di peringkat lebih tinggi, mungkin dari peringkat yang tertinggi, kita akan dapatkan pengesahan,” katanya kepada media selepas solat Jumaat bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Masjid Negara, hari ini.
Semalam, Anwar meluahkan rasa kecewa susulan tindakan Meta yang sekali lagi memadam kandungan di laman sosial Facebook beliau.
Ia berkenaan ucapan takziah kepada pejuang Palestin, Ismail Haniyeh yang dibunuh yang dimuat naik kelmarin.
Malah Anwar memberi teguran keras kepada Meta supaya tidak menjadi bacul dan menjadi perkakas kepada rejim zalim Zionis Israel.
Dalam pada itu, Fahmi berkata Meta akan menghantar delegasi mereka minggu depan untuk memberikan alasan mereka berhubung penurunan hantaran Anwar.
“Kita beri masa (untuk Meta beri penjelasan) hingga delegasi mereka sampai minggu depan,” katanya.
Menurut Fahmi, turut terkesan dengan tindakan Meta itu adalah bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
“Perkara sebegini tidak seharusnya berlaku kepada sesiapa pun. Agak kelakar (kerana) Amerika Syarikat melaungkan kebebasan bersuara dan sebagainya. Meta sepatutnya mempraktikkan apa yang diperjuangkan atau sekadar hipokrit,” katanya.
Rabu lalu, Bahagian Media dan Komunikasi Strategik, Pejabat Perdana Menteri (PMO) turut mengecam tindakan Meta menurunkan hantaran gambar di Instagram yang memaparkan perjumpaan Anwar dengan pemimpin Hamas itu di Doha, Qatar, pada Mei lalu.
Dalam kenyataannya, bahagian terbabit memaklumkan, tindakan Meta itu ternyata memperlihatkan diskriminasi pemilik platform media sosial itu terhadap situasi di Palestin dan pemimpin negara terbabit.
Sehubungan itu, bahagian terbabit turut menuntut penjelasan berhubung perkara tersebut dan mendesak Meta memohon maaf. – UTUSAN







