KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan berpendirian, bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin akan dibicarakan secara adil meskipun perbicaraan terhadapnya dikendalikan oleh hakim sama yang mendengar kes isterinya, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid.
Daim, 86, dan Na’imah, 67, masing-masing menghadapi pertuduhan gagal mengisytiharkan 70 harta dan 12 harta manakala kedua-dua kes dijadual dibicarakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berhujah, hakim berkenaan layak mendengar kes Daim serta menilai keterangan saksi-saksi pada perbicaraan kelak.
Hujah beliau, pihak pembelaan gagal membuktikan hakim berkenaan akan berlaku berat sebelah terhadap Daim jika bertindak sebagai hakim yang sama bagi kes isterinya.
Sehubungan itu, beliau memohon mahkamah menolak permohonan bekas Menteri Kewangan itu untuk memindahkan kes di hadapan seorang hakim Mahkamah Sesyen yang lain.
“Permohonan ini tidak boleh dibenarkan kerana ia akan menunjukkan seolah-olah hakim berkenaan tidak layak atau tidak sesuai mendengarnya,” hujah Wan Shaharuddin.
Sementara itu, TPR Mohamad Fadhly Mohd. Zamry turut berhujah, isu hakim tidak berlaku adil dibangkitkan oleh pihak pembelaan merupakan dakwaan yang serius.
Beliau berhujah, mahkamah tidak boleh sewenang-wenangnya membenarkan permohonan pemindahan kes berdasarkan kepada spekulasi semata-mata.
Terdahulu, peguam M. Puravalen yang mewakili Daim berhujah agar permohonan itu dibenarkan bagi mengelak berlaku ketidakadilan terhadap anak guamnya.
Beliau berhujah, permohonan itu bukan sesuatu yang biasa kerana kedua-dua kes turut melibatkan isu-isu perundangan yang perlu diteliti dan diputuskan oleh mahkamah.
Hujah beliau, permohonan itu bukan bermaksud supaya Azura menarik diri sebaliknya mahukan kes itu dipindahkan di hadapan seorang hakim berlainan.
Selepas mendengar penghujahan kedua-dua pihak, Azura menetapkan 27 Ogos ini untuk keputusan permohonan tersebut.
Beliau turut menetapkan tarikh yang sama untuk status permohonan Daim dan Na’imah bagi rujuk isu-isu perlembagaan ke Mahkamah Tinggi.
Azura turut mengarahkan Daim hadir pada prosiding itu dan mengemukakan surat makluman kepada mahkamah jika tahap kesihatan tertuduh tidak memuaskan.
Pada 29 Januari lalu, Daim, 86, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis yang tidak mematuhi terma notis di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694).
Notis bertarikh 8 November 2023 itu dihantar kepada tertuduh oleh seorang pegawai SPRM berpangkat Pesuruhjaya dan yang lebih tinggi pada 14 November 2023.
Harta itu antaranya satu akaun Amanah Saham Nasional Berhad (ASB), tujuh kenderaan seperti Jaguar, Mercedes-Benz serta Roll Royce, 38 syarikat dan 25 hartanah di ibu negara, Selangor, Negeri Sembilan, Perak serta Pahang.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ibu pejabat SPRM, No.2, Lebuh Wawasan, Presint 7, Putrajaya pada 13 Disember tahun lalu.
Sebelum itu, pada 23 Januari lalu, Na’imah turut didakwa atas pertuduhan sama membabitkan antaranya bangunan Menara Ilham, dua kereta Mercedes-Benz serta beberapa aset harta di Bukit Tunku, Taman Tun Dr. Ismail dan Pulau Pinang. Kesalahan itu didakwa dilakukan pada tempat dan tarikh yang sama. – UTUSAN










