SABAK BERNAM: Sebilangan guru termasuk pegawai pentadbiran dan kakitangan sokongan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) membatalkan hasrat untuk bersara awal selepas mengenalpasti jumlah kenaikan gaji menerusi kajian Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) baru-baru ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, jumlah kenaikan paling tinggi dalam sejarah perkhidmatan awam itu turut melibatkan warga pendidik menyebabkan mereka terlibat bertukar fikiran untuk terus berkhidmat dalam kerjaya masing-masing.
“Sebahagian mereka (termasuk guru dan pentadbir) membuat pusingan ‘U’ selepas mengenal pasti kenaikan gaji pada minggu lalu, saya tidak mempunyai rekod itu (jumlah kakitangan yang berhasrat bersara awal) ketika ini.
“(Dalam masa sama) kementerian juga sedang mempertimbangkan keputusan mereka yang mahu menarik balik persaraan mereka sebelum ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Dua Projek Sekolah Daerah Sabak Bernam, hari ini.
Utusan Malaysia pada minggu lalu melaporkan kira-kira 1.6 juta penjawat awam di negara ini menerima julat kenaikan pendapatan mereka di antara 16.8 peratus hingga 42.7 peratus yang berkuatkuasa secara berperingkat, mulai 1 Disember ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu, kenaikan itu menyebabkan implikasi kewangan kerajaan lebih RM10 bilion setahun.
Dalam pada itu, Fadhlina memaklumkan, kira-kira 500,000 warga kerja KPM yang menikmati kenaikan gaji baharu berdasarkan SSPA yang akan digunakan kerajaan pada 1 Disember ini.
“Dengan kenaikan ini, saya harap warga kerja KPM akan lebih bersemangat untuk menjayakan agenda kementerian yang dirancang sebelum ini termasuklah melaksanakan kesemua agenda ini penting,” ujarnya.
Sementara itu dalam perkembangan berasingan, beliau yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal menjelaskan Unit Integriti KPM sedang menyiasat tindakan guru membuat poster pertandingan buku skrap yang memaparkan pasukan tentera dari negara lain.
Katanya, guru tersebut sudah pun membuat permohonan maaf, namun meminta penjelasannya sebagai sebahagian daripada siasatan tatatertib. – UTUSAN










