SHAH ALAM: Pentadbiran dan pengurusan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dilihat lebih ke depan berbanding DUN negeri lain termasuk Dewan Rakyat termasuk dalam keperluan mengadakan sidang secara maya atau dalam talian.
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, malah, DUN Selangor juga dilihat kedepan dalam menguruskan kertas soalan oleh wakil rakyat kepada institusi penggubalan dasar itu serta speaker dewan secara dalam talian.
Menurutnya, kaedah tersebut turut dilakukan oleh DUN Kedah.
“Dewan Rakyat pada 2020 tidak dapat bersidang berikutan pandemik Covid-19 melanda sekali gus mengganggu proses pindaan dan penggubalan akta baharu.
“Bagaimanapun, di DUN Selangor, mereka sudah pun meminda Peraturan-Peraturan Tetap Bagi Dewan Negeri Selangor 1965 bagi membolehkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bersidang secara hibrid ketika pandemik Covid-19.
“Dalam hal itu, Dewan Rakyat agak terkebelakang berbanding Selangor. Justeru, kami di pihak akan belajar dengan pihak DUN Selangor bagaimana mereka melakukan persidangan dengan kaedah itu,” katanya selepas melawat Wisma Dewan Negeri Selangor, hari ini.
Tambahnya, hal sedemikian akan menjadi perkara untuk dibincangkan dalam persidangan Speaker dan Timbalan Speaker yang diadakan pada 14 September ini di Kuching, Sarawak.
“Perkongsian ketika persidangan ini juga dapat mengukuhkan lagi institusi legislatif di negara ini, di samping memartabatkan speaker di peringkat Parlimen dan DUN,” jelasnya.
Terdahulu, Dewan Rakyat tidak dapat bersidang apabila negara dilanda wabak pandemik Covid-19 dan hanya kembali bersidang pada 26 Julai 2021 menerusi Sidang Khas selama lima hari.
Dalam pada itu, Johari turut memaklumkan ahli parlimen pembangkang tidak perlu mengemukakan hasil perbincangan tuntutan peruntukan mereka kepada Dewan Rakyat sebaliknya perbincangan itu boleh dilakukan antara mereka dengan kerajaan.
“Ini kerana peruntukan semua ahli parlimen di negara ini adalah di bawah tanggungan kerajaan Malaysia dan bukannya di bawah badan legislatif. Mereka boleh bincang hal ini tanpa memaklumkan kepada saya.
“Tidak perlu dibentangkan di Dewan Rakyat. Sebaliknya, mereka perlu maklumkan kepada kerajaan,” jelasnya. – UTUSAN











