Ditipu RM1 juta selepas enam tahun melabur forex

Ditipu RM1 juta selepas enam tahun melabur forex

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA : Seorang lelaki kerugian RM1 juta selepas diperdaya sebuah syarikat yang menawarkan skim pelaburan mata wang forex dengan keuntungan dua peratus pada setiap bulan.

Ejen insuran, Lee Jian Shiun, 32, berkata, dia merupakan antara 400 mangsa penipuan skim pelaburan tersebut yang dipercayai didalangi oleh tiga individu termasuk dua warga asing dengan kerugian keseluruhan lebih RM100 juta.

Menurutnya, dia mula diperkenalkan dengan skim pelaburan itu oleh rakannya pada 2016 yang menawarkan pulangan keuntungan bulanan selain ganjaran lumayan jika berjaya membawa masuk pelabur lain.

Katanya, dia dibawa berjumpa seorang lelaki warga asing yang mengaku sebagai ketua broker yang menguruskan transaksi kewangan antara pelabur dan syarikat berkenaan.

“Pada awalnya, saya memang dapat pulangan seperti dijanjikan setiap bulan dan mula yakin syarikat itu menjalankan pelaburan sah.

“Bagaimanapun, pada 2022 saya dan rakan pelabur tidak menerima pulangan dijanjikan dengan syarikat memberi pelbagai alasan termasuk mendakwa masalah berlaku daripada pihak bank,” katanya dalam sidang akhbar bersama Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim di sebuah pusat beli-belah di sini semalam.

Mengulas lanjut, katanya, dia menyedari ditipu selepas ketua broker itu tersalah menghantar mesej mengenai pembahagian wang pelabur bersama dua rakan kongsinya itu ke dalam kumpulan WhatsApp.

“WhatsApp berkenaan membuktikan wang kami sebenarnya tidak dilaburkan sebaliknya dibahagikan antara mereka,” katanya.

Selepas kejadian itu katanya, dia mendesak wangnya dikembalikan namun syarikat gagal berbuat demikian sebelum beliau nekad membuat laporan polis.

Sementara, Hishamuddin berkata, modus operandi tawaran pelaburan tersebut melibatkan sebuah syarikat yang melantik broker pelaburan bagi menguruskan transaksi kewangan antara pelabur dan syarikat.

“Broker tersebut kemudian turut melantik sebuah persatuan sebagai agensi pemasaran bagi mempromosikan skim-skim pelaburan itu,” katanya.

Menurut beliau, pihak MHO mengesyaki tawaran skim pelaburan itu tidak sah ekoran syarikat-syarikat tersebut gagal mematuhi syarat yang diperuntukkan untuk mengawalselia agensi pelaburan di Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN