IPOH: Sekeping diploma yang diperoleh Muhammad Hafizuddin Mohd. Yamin menguatkan semangatnya untuk terus berjaya, meskipun kini lumpuh akibat kemalangan motosikal tahun lalu.
Muhammad Hafizuddin adalah seorang daripada lebih 400 graduan yang diraikan dalam hari pertama Istiadat Konvokesyen Politeknik Ungku Omar (PUO) di sini semalam, yang dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Hafizuddin bersyukur kerana dapat menamatkan pengajian walaupun terpaksa bergantung kepada penggunaan kerusi roda.
“Saya kini memberikan fokus menguruskan diri dan mahu berjaya,” katanya pada istiadat konvokesyen itu.
Lebih istimewa, Saarani sendiri turun daripada pentas utama untuk menyampaikan diploma kepada Muhammad Hafizuddin yang berkerusi roda.
Beliau mendapat Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Automotif) dan merupakan penerima Anugerah Ketua Jabatan sebanyak empat kali berturut-turut dari semester satu hingga empat.
Graduan berusia 22 tahun itu terlibat dalam kemalangan motosikal semasa pulang dari tempat kerja yang menyebabkan tulang belakang patah dan memberi kesan kepada saraf tunjangnya.
Kejadian itu membuatkannya lumpuh dari pinggang ke bawah dan berkerusi roda.
Istiadat Konvokesyen PUO ke-52 yang berlangsung dari 26 hingga 30 Ogos ini meraikan 1,748 graduan daripada 20 bidang.
Sehingga Ogos 2024, PUO telah melahirkan 88,567 graduan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) dalam pelbagai bidang. – UTUSAN