Dana RM50 juta untuk mahasiswa

Dana RM50 juta untuk mahasiswa

ANWAR Ibrahim mendengar taklimat semasa melawat ruang pameran selepas merasmikan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2024 di Pusat Konvokesyen Setia City, Shah Alam, Selangor, semalam. – UTUSAN/SADDAM YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Satu juta mahasiswa baharu institusi pengajian tinggi awam (IPTA) diberikan dana asas pelaburan menerusi pro­gram Celik Madani: Celik Kewangan Be­lia Madani sebanyak RM50 seorang ba­gi menggalakkan golongan belia mela­bur dan mempunyai komitmen ke arah itu.

Dana asas sebanyak RM50 juta sebahagiannya disuntik oleh kerajaan dan baki ditaja oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) serta syarikat-syarikat berkaitan dengan menyasarkan seramai 200,000 mahasiswa setahun.

Berdasarkan mekanisme tersebut, RM50 dikreditkan ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) atau Amanah Saham Malaysia (ASM) dan nilai itu dikunci bagi tempoh lima tahun.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, angka itu praktikal bagi memastikan golongan belia mula me­labur selain menggalakkan mahasiswa atau ibu bapa menambah simpanan dalam tempoh tersebut.

“Itu disebutkan kecelikan kewangan dan pelaburan ke­rana kadangkala kita anggap remeh hal-hal demikian, mustahil kalau dimasukkan RM50 kita tak boleh jadi jalan dalam beberapa bulan untuk masukkan RM50.

“Mudah-mudahan dengan simpanan tambahan daripada dana asas itu, boleh kita gala­kan kefahaman tentang apa erti pelaburan dan jaminan masa depan.

“Dana awal yang disediakan oleh PNB dan syarikat-syarikat berkaitan adalah RM50 juta dan kita harap seluruh anak-anak yang hadir kempen sekali lagi dengan kawan-kawan ke­rana sasaran kita untuk pelajar 200,000 orang setahun,” katanya ketika berucap merasmi­kan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2024 di Pusat Konvokesyen Setia City, di sini, semalam.

Program tersebut adalah cetusan idea warga PNB dan di­saran dikembangkan kepada mahasiswa politeknik serta kolej vokasional.

Inisiatif itu dibangunkan bagi meningkatkan celik kewangan dalam kalangan mahasiswa dengan objektif memasikan mereka mempunyai platform untuk melabur, galakan mula melabur pada usia muda sebelum memulakan pekerjaan dan melengkapkan diri dengan pengetahuan serta alat kewangan.

Anwar berkata, pengurusan universiti juga seharusnya memudahkan pelaksanaan program tersebut supaya dapat menepati sasaran dalam usaha menggalakkan golo­ngan belia celik pelaburan dan melabur.

“Kadangkala kita umum tetapi pelaksanaannya itu ba­nyak, leceh sebab itu bila saya umum kenaikan gaji penjawat awam baru-baru ini, saya ­terus beri amaran hari ini umum (Jumaat), Isnin kalau lembab macam dulu juga saya tarik balik peruntukan itu.

“Tetapi, syukur kerana kita pantau setiap hari memang ada satu sikap baharu dan budaya yang lebih baik dalam kala­ngan penjawat awam dan saya ucapkan tahniah. Insya-Allah wang akan disalurkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri meminta PNB membantu sektor pendidikan negara melahirkan lebih ramai jurutera dan individu berkemahiran dalam kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) lebih spesifik bagi memenuhi permintaan pelaburan dalam negara.

“Kita ada masalah kerana sekarang pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) tak cukup. Yang ambil sains dan matematik berkurangan dan semua yang lulus tidak ada tempat, tetapi kita perlu 50,000 hingga 60,000 jurutera.

“Jadi saya harap PNB juga beri perhatian kerana salah satu jentera boleh memikirkan bagaimana dapat diadakan si­nergi dengan syarikat-syarikat begitu dan bentuk latihan yang mereka lakukan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN