KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin dan isterinya Toh Puan Na’imah Abdul Khalid masing-masing bagi pertuduhan gagal mengisytiharkan harta, akan didengar oleh hakim Mahkamah Sesyen yang sama dalam prosiding berbeza.
Daim, 86, dan Na’imah, 67, masing-masing menghadapi pertuduhan gagal mengisytiharkan 70 harta dan 12 harta, akan dibicarakan di hadapan Hakim Azura Alwi dalam pendengaran berasingan.
Azura memutuskan demikian selepas menolak permohonan bekas Menteri Kewangan itu agar beliau memindahkan kes untuk dibicarakan di hadapan hakim yang lain.
Azura berpuas hati, Daim selaku pemohon gagal membuktikan kemungkinan beliau akan bertindak berat sebelah ketika mendengar perbicaraan tersebut.
“Pemohon gagal melepasi ujian kemungkinan wujudnya sikap berat sebelah jika kes didengar di hadapan hakim yang sama.
“Mahkamah percaya ia berkeupayaan mempertimbang semua keterangan mahupun sebarang permohonan interlokutori yang akan dikemukakan di hadapan mahkamah kelak secara profesional,” ujar Azura ketika menyampaikan keputusannya.
Azura berpendirian, sebagai pegawai kehakiman yang terlatih dan berpengalaman, beliau mampu menentukan isu kebolehterimaan dan kredibiliti dalam setiap keterangan kes terhadap pemohon dan isterinya.
Pada prosiding itu, mahkamah turut menetapkan 17 Oktober ini untuk penghujahan lisan permohonan Daim dan Na’imah bagi merujuk isu-isu perlembagaan ke Mahkamah Tinggi.
Azura turut menetapkan tarikh yang sama bagi sebutan kes selanjutnya selepas kedua-dua pihak memaklumkan semua dokumen perbicaraan telah diserahkan.
Pada 29 Januari lalu, Daim, 86, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dengan sengaja memberikan satu pernyataan bertulis yang tidak mematuhi terma notis di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694).
Notis bertarikh 8 November 2023 itu dihantar kepada tertuduh oleh seorang pegawai SPRM berpangkat Pesuruhjaya dan yang lebih tinggi pada 14 November 2023.
Harta itu antaranya satu akaun Amanah Saham Nasional Berhad (ASB), tujuh kenderaan seperti Jaguar, Mercedes-Benz serta Roll Royce, 38 syarikat dan 25 hartanah di ibu negara, Selangor, Negeri Sembilan, Perak serta Pahang.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ibu pejabat SPRM, No.2, Lebuh Wawasan, Presint 7, Putrajaya pada 13 Disember tahun lalu.
Sebelum itu, pada 23 Januari lalu, Na’imah turut didakwa atas pertuduhan sama membabitkan antaranya bangunan Menara Ilham, dua kereta Mercedes-Benz serta beberapa aset harta di Bukit Tunku, Taman Tun Dr. Ismail dan Pulau Pinang. Kesalahan itu didakwa dilakukan pada tempat dan tarikh yang sama.- UTUSAN










