Buruh ditahan bersama dadah bernilai RM33,000 - Utusan Malaysia

Buruh ditahan bersama dadah bernilai RM33,000

SEORANG buruh (kanan) yang ditahan bersama pelbagai jenis dadah dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/TENGKU DANISH BAHRI TENGKU YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang buruh ditahan bersama pelbagai jenis dadah seberat 553.84 gram (g) bernilai lebih RM33,000 di sebuah rumah di Kuala Ibai di sini, kira-kira 5.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, suspek ditahan bersama 21 peket plastik dan 10 botol dadah berbentuk serbuk, kristal dan pil yang diletakkan di dalam bag silang.

Beliau berkata, turut disita dalam serbuan itu adalah sebuah kereta jenis Perodua Axia bernilai RM25,000 dan wang tunai berjumlah RM200 milik suspek.

Jelasnya, siasatan mendapati lelaki tempatan itu memiliki tujuh rekod jenayah lampau iaitu lima berkaitan dadah, selain mencuri kenderaan dan mencuri dalam bangunan.

“Ketika ditahan, pihak polis telah memeriksa bag silang suspek dan menjumpai barang disyaki dadah pelbagai jenis yang disimpan di dalam peket plastik, botol plastik serta bungkusan surat khabar.

“Antaranya pil-pil berwarna merah dan hijau seberat 433.01g, serbuk putih seberat 115.88g dan ketulan kristal seberat 4.95g dengan anggaran nilaian pasaran berjumlah RM33,038.22.

“Ujian saringan air kencing kemudian menunjukkan suspek yang berusia 34 tahun itu juga positif dadah berbahaya jenis methamphetamine,” jelas beliau ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sementara itu, suspek akan direman tujuh hari untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana mengedar dadah dan Seksyen 15(1)(a) Akta sama kerana penyalahgunaan dadah.

Perintah reman selama tujuh hari bermula hari ini dikeluarkan Majistret Noor Mazrinie Mahmood, hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN