Benam KDN FC, Harimau Kumbang akhirnya pamer taring sebenar

Benam KDN FC, Harimau Kumbang akhirnya pamer taring sebenar

PENANG FC melakar kemenangan pertama dalam saingan Liga Super di laman sendiri apabila membenam KDN FC 3-0 di Stadium Bandaraya, malam ini.-IHSAN PENANG FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Selepas mempamerkan aksi longlai ketika tewas 1-4 di tangan Selangor Sabtu lalu, Penang FC kembali menemui rentak apabila membenam cabaran Kelantan Darul Naim (KDN) FC 3-0 di Stadium Bandaraya, malam ini.

Lebih manis, kemenangan tersebut adalah yang pertama dilakar oleh anak-anak buah Akmal Rizal Ahmad Rakhli di laman sendiri dalam saingan Liga Super musim ini selepas mengharungi tujuh perlawanan.

Bermula garang, tuan rumah terlebih dahulu di depan apabila penyerang import mereka, Rodrigo Dias menanduk masuk hantaran Fairuz Zakaria pada minit ke-14.

Memuatkan artikel berkaitan…

Gol tersebut nyata menyemarakkan semangat skuad Harimau Kumbang untuk terus menggandakan asakan baru memburu lebih banyak jaringan.

Hasilnya, pemain tengah, Nik Akif Syahiran Nik Mat berjaya menyudahkan lorongan kemas Dias pada minit ke-34 dengan satu rembatan leret menuju ke penjuru kiri gawang KDN FC.

Masuk babak kedua, pelawat bagaimanapun dilihat kembali agresif untuk merapatkan kedudukan apabila melancarkan serangan demi serangan ke kubu Penang FC.

Bagaimanapun, ketumpulan jentera serangan mereka yang diterajui oleh Wan Mohamad Fazli Wan Ghazali, Adam Danial Md. Zaid serta pemain gantian, Valdumar Augusto membuatkan pelawat terpaksa ‘berputih mata’.

Kealpaan benteng pertahanan KDN FC akhirnya dihukum lagi apabila pengadil, S. Logeswaran kemudian menghadiahkan tendangan penalti kepada Penang FC selepas Muhammad Izzat Zikri dijatuhkan dalam kotak penalti pada minit ke-75.

Kapten, Rafael Vitor kemudian tenang merembat bola ke gawang gol KDN FC untuk gol ketiga sekali gus melengkapkan malam gemilang tuan rumah.

Meskipun pelawat cuba bangkit untuk memburu gol sagu hati pada minit-minit akhir perlawanan, Penang FC kekal bertahan sekali gus memastikan tiga mata penting kekal milik mereka.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini