Bella Astillah ingin move on, tiada lagi komen mengenai Aliff Aziz - Utusan Malaysia

Bella Astillah ingin move on, tiada lagi komen mengenai Aliff Aziz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Bella Astillah, 30, memutuskan untuk tidak lagi memanjangkan sebarang isu membabitkan dia dengan bekas suaminya, Aliff Aziz, 33.

Kata ibu dua cahaya mata itu, dia selepas ini mahu meneruskan kehidupan, memfokuskan kepada kerjaya dan membesarkan anak-anaknya tanpa perlu lagi terpalit dengan masalah membabitkan Aliff dan keluarganya.

“Saya faham, ramai yang penat dan muak. Saya pun tak selesa berkongsi apa-apa lagi kerana saya mahu teruskan kehidupan.

“Isu ini (anak-anak) terus dimainkan (pihak sebelah sana) sehingga menimbulkan persepsi kononnya saya pisahkan anak-anak dengan bapa mereka. Jadi, saya kena jelaskan dan noktahkan semua dakwaan supaya netizen tahu, bukan niat saya untuk pisahkan (bekas suami dengan anak).

“Saya pun tak ada apa lagi nak dikongsikan. Semua sudah terungkai. Saya lega apabila lepaskan semua. Selebihnya, saya nak move on.

“Selepas ini, saya tak akan komen tentang bekas suami. Saya cuma mahu kongsikan perkara positif berkaitan diri saya, kerjaya dan anak-anak sahaja,” katanya.

Bella berkata demikian ketika ditemui selepas Anugerah TikTok 2025 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra, semalam.

Bella pada malam semalam mengungguli kategori Celebrity of The Year, sekali gus memenangi trofi dan telefon pintar jenama Honor.

Terdahulu, Bella, menerusi perkongsian panjang lebar di Instagram menempelak bekas ibu mentuanya, Siti Hafizah Sheikh Mohamad yang seakan-akan menyindirnya menerusi petikan ceramah mengenai larangan anak-anak daripada berjumpa kedua ibu bapa mereka.

Petikan itu dimuat naik Siti Hafizah susulan penjelasan Bella disebalik sebab dia tidak membenarkan keluarga bekas suaminya berhubung dengan anak-anak mereka.

Bella dan Aliff bercerai kali kedua pada 13 Jun lalu, selepas bekas suaminya itu ditangkap khalwat dengan pelakon, Ruhainies pada 9 Mac lepas.

Bekas pasangan suami isteri itu mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 dan hasil perkahwinan mereka dikurniakan dua cahaya mata, Ayden Adrean, 6, dan Ara Adreanna, 3.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×