BAGAN DATUK: Seorang bekas anggota Pasukan Kawalan Tempatan Persekutuan Tanah Melayu (Home Guard) yang bertugas di Sungai Manik pada 1950-an, Wahab Tajuddin, 92, sentiasa bersemangat menyambut Hari Kebangsaan.
Menurutnya, usia lanjut bukan penghalang dia meraikan Hari Kebangsaan setiap tahun malah sedia berkongsi pengalaman dengan generasi muda mengenai perjuangan orang dahulu membela tanah air daripada ancaman musuh negara.
Katanya, walaupun sudah 67 tahun negara mencapai kemerdekaan, dia tetap merasakan semangat perjuangan mempertahankan negara seperti ketika negara baharu mencapai kemerdekaan.
Jelasnya, apatah lagi masyarakat dahulu sangat bersatu hati mempertahankan tanah air daripada ancaman musuh dan perlu dicontohi generasi hari ini.
“Saya tidak hanya mengharapkan generasi muda menghargai perjuangan orang dahulu tetapi lebih penting, mereka perlu memahami dan mempertahankan kemerdekaan yang dicapai.
“Kemerdekaan negara perlu diisi dengan keharmonian antara kaum supaya kemakmuran dapat dikecapi dan juga penting generasi hari ini tidak mencemarkan negara dengan perbuatan yang boleh merosakkan negara.
“Generasi hari ini bertuah kerana negara sudah mencapai kemerdekaan dan tanggungjawab mereka adalah memelihara kemerdekaan dan mempertahankan negara daripada sebarang ancaman,” katanya ketika ditemui di Selekoh di sini.
Wahab turut mengimbau pengalaman sebagai anggota Home Guard, iaitu pertubuhan sukarelawan pada 1950 yang berperanan untuk mengawal keselamatan semasa darurat daripada ancaman komunis.
Katanya, biarpun sudah lebih 70 tahun kejadian itu berlalu, dia tidak dapat melupakan kesukaran hidup pada waktu itu kerana ancaman komunis.
Katanya, dia mula menyertai pasukan Home Guard pada usia 16 tahun bagi menjaga keamanan kampungnya di Chenderong Balai daripada ancaman pihak komunis.
“Sepanjang menjadi anggota Home Guard, saya pernah bertempur dengan komunis dan beberapa rakan saya terkorban.
“Saya bangga kerana dapat memainkan peranan menjaga keamanan negara. Saya sifatkan itu sebagai sumbangan saya kepada negara kerana saya pilih tugas ini tanpa gaji, hanya dengan sukarelawan demi agama dan tanah air,” katanya. – UTUSAN










