Bekalan insulin pesakit diabetes terjejas 

Bekalan insulin pesakit diabetes terjejas 

insulin
MMA bimbang dengan isu bekalan insulin manusia terjejas kerana ia memberi berpotensi memberi kesan ke atas pesakit terutama mereka yang bergantung kepada ubat tersebut untuk pengurusan diabetes.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) digesa mewujudkan jawatankuasa di seluruh negara bagi menyelia pengurusan stok dan bekalan ubat penting susulan laporan bekalan insulin manusia yang terjejas baru-baru ini.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Azizan Abdul Aziz berkata, ketelusan dan komunikasi yang terbuka antara orang ramai dan penyedia penjagaan kesihatan diperlukan memandangkan situasi tersebut sedang berkembang.

Kata beliau, MMA bimbang dengan isu bekalan insulin manusia terjejas kerana ia memberi berpotensi memberi kesan ke atas pesakit terutama mereka yang bergantung kepada ubat tersebut untuk pengurusan diabetes.

“Keputusan untuk menukar pesakit daripada insulin manusia kepada alternatif yang lebih mahal, seperti ubat SGLT2 dan analog insulin, menimbulkan beberapa kebimbangan yang ketara.

“Walaupun alternatif ini mungkin berkesan untuk sesetengah orang, peralihan secara tiba-tiba yang didorong oleh keperluan dan bukannya keutamaan klinikal, mungkin menimbulkan risiko, terutamanya jika pesakit  itu tidak dipantau dengan secukupnya atau jika mereka tidak bertindak balas dengan baik terhadap rawatan baharu itu,” katanya di dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan, KKM memaklumkan bekalan insulin manusia terjejas di fasilitinya kerana terdapat isu pengeluaran pembekal tempatan.

Sehubungan itu, KKM telah mengambil beberapa pendekatan termasuk penggunaan insulin jenis analog dan terapi oral berdasarkan penilaian doktor bagi memastikan rawatan pesakit diabetes dapat diteruskan tanpa gangguan .

Jelasnya, daripada 41 ubat-ubatan yang digunakan untuk merawat diabetes, hanya insulin manusia mengalami isu bekalan.

Sementara itu, Dr Azizan berkata, terdapat beberapa aspek yang dibimbangkan pihaknya, antaranya adalah mengenai keselamatan dan keberkesanan rawatan.

Beliau mengakui bahawa peralihan peralihan kepada rawatan alternatif  tidak dapat dielakkan berdasarkan keadaan bagaimanapun ia perlu dilakukan dengan berhati-hati.

“Sakit dengan keadaan kesihatan yang kompleks, termasuk mereka yang menghidap diabetes Jenis 1, wanita hamil dan mereka yang mengalami kegagalan buah pinggang serius, amat terdedah.

“Sebarang perubahan pada rejimen rawatan mereka mesti dipantau rapi untuk memastikan kesihatan mereka tidak merosot,” jelasnya.

Beliau berkata, kriteria untuk beralih dari insulin manusia kepada rawatan alternatif perlu dipatuhi dan tidak menggantikan penjagaan individu yang layak untuk setiap pesakit.

Katanya, risiko kawalan dlisemik menjadi semakin teruk dan potensi untuk berlakunya peningkatan komplikasi mesti dikurangkan melalui langkah susulan yang ketat dan penerangan kepada pesakit.

“Krisis semasa menekankan keperluan untuk rantaian bekalan yang lebih teguh dan pelbagai untuk ubat-ubatan penting seperti insulin.

“MMA menggesa KKM untuk menyegerakan mengenal pasti pengeluar alternatif dan berusaha ke arah memastikan kekurangan tersebut tidak berulang pada masa hadapan,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×