GAZA: Kegembiraan seorang lelaki Palestin menyambut kelahiran dua bayi kembar sepasang diragut oleh serangan tentera Israel dalam sekelip mata.
Serangan udara Israel pada Selasa menyebabkan Mohammad Abu al-Qumsan kehilangan isteri, ibu mertua dan dua bayinya yang baru berusia empat hari.
Pasangan kembar itu terbunuh ketika Mohammad berada di pejabat kerajaan tempatan untuk mendaftar kelahiran anaknya, yang dinamakan Asser dan Ayssel.
Sejurus kejadian itu, Mohammad menerima panggilan yang menyampaikan berita buruk bahawa serangan bom Israel menyasarkan kediaman keluarganya di Deir al-Balah.
Beliau bergegas ke Hospital Al-Aqsa di Deir al-Balah dan dimaklumkan mengenai kematian empat anggota keluarganya itu.
“Saya baru sahaja mendapatkan sijil kelahiran untuk bayi kembar saya, Asser dan Ayssel.
“Mereka dilahirkan pada 10 Ogos. Saya di luar rumah, menyelesaikan urusan pendaftaran kemudian menerima panggilan dan tidak menyangka akan kehilangan kesemua mereka,” katanya.
Dalam video yang dikongsi di media sosial, bapa tersebut kelihatan meratap, sambil memegang sijil kelahiran anak kembarnya, sementara orang lain di sekeliling cuba menenangkan Mohammad.
Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan 115 bayi yang dilahirkan di wilayah itu terbunuh akibat perang Israel.
Menurut agensi berita AP, keluarga itu mengikuti arahan untuk mengosongkan Bandar Gaza pada awal perang, mencari perlindungan di kawasan itu, seperti yang diarahkan pasukan tentera.
Bagaimanapun, keluarga itu tetapi diserang di lokasi yang sepatutnya menjadi tempat perlindungan buat mereka.– BBC










