Bakal diserang pelbagai pihak

Bakal diserang pelbagai pihak

ISMAIL HANIYEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Israel dijangka berhadapan dengan serangan balas daripada pelbagai pihak ekoran tindakan mereka bukan lagi dilihat sebagai ancaman kepada Palestin sahaja tetapi dunia secara menyeluruh.

Pakar Geopolitik Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Aminurrasid Yatiban berkata, insiden pembunuhan Pengerusi Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh amat mengejutkan dunia terutama negara yang memperjuangkan Palestin.

Menurut beliau, tindakan dan keganasan yang dilakukan Israel secara berterusan seolah-olah menandakan rejim Zionis itu boleh membuat apa sahaja yang mereka inginkan dan ia merupakan satu bentuk ancaman kepada dunia.

Jelasnya, ia merupakan ‘wake up call’ kepada dunia terutama negara-negara Islam untuk bekerjasama bagi menghentikan tindakan Israel dalam setiap bentuk seperti menoktahkan hubungan diplomatik dan ekonomi dengan rejim Zionis.

“Saya menjangkakan sekurang-kurangnya akan ada serangan balas. Malah, reaksi awal daripada Hamas sendiri menunjukkan mereka tidak akan membiarkan pembunuhan terhadap pemimpin mereka begitu sahaja, Hamas sudah pasti akan menuntut bela.

“Iran juga sudah menyatakan mereka tidak akan berdiam diri memandangkan Israel ceroboh tanah mereka dan membunuh tokoh penting selepas peristiwa yang sangat penting bagi negara mereka. Ini boleh dibaca sebagai penghinaan bagi Iran,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, media melaporkan, Ismail meninggal dunia akibat dibunuh di Iran yang dipercayai dirancang oleh rejim Zionis dalam satu serangan khianat di kediamannya di Teheran.

Kali terakhir, beliau dilihat mengadakan pertemuan dengan Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei dan Setiausaha Agung Gerakan Jihad Islam Palestin, Ziyad al-Nakhalah.
Mengulas lanjut, Aminurrasid berkata, beberapa negara dilihat akan turut serta dalam konflik tersebut.

“China mungkin menjadi pengantara dalam perundingan antara kumpulan-kumpulan di Palestin. Jadi secara tidak langsung boleh dibaca bahawa negara itu berpihak kepada Palestin.

“Amaran dan kecaman yang dikeluarkan oleh Russia juga jelas menunjukkan mereka di pihak mana. Malah, Turkiye juga sudah mengeluarkan kenyataan yang ‘keras’. Jadi pelbagai kemungkinan boleh berlaku,” katanya.

Tambahnya, tindakan yang akan diambil oleh pelbagai pihak itu sangat signifikan untuk memberhentikan segala kebiadaban dan keganasan yang dilakukan oleh Israel. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN