WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) semalam meluluskan penjualan jet pejuang bernilai AS$20 bilion (RM88.5 bilion) dan peralatan ketenteraan lain kepada Israel ketika Tel Aviv meneruskan pembunuhan besar-besar terhadap penduduk Palestin di Gaza sejak 10 bulan lalu.
Satu kenyataan Pentagon memaklumkan, pembelian diluluskan Setiausaha Negara, Antony Blinken itu melibatkan penjualan jet F-15 dan peralatan bernilai hampir AS$19 bilion (RM84.1 bilion) bersama peluru kereta kebal bernilai AS$774 juta (RM3.4 bilion), peluru mortar bernilai AS$60 juta (RM265.6 juta) dan kenderaan berperisai bernilai AS$583 juta (RM2.6 bilion).
Bagaimanapun menurut Pentagon, jet tempur F-15 dari Boeing Co dijangka memerlukan beberapa tahun untuk dihasilkan, dengan penghantaran dijangka bermula pada tahun 2029.
Peralatan lain pula dijangka dihantar pada tahun 2026, namun seorang pakar pemerolehan senjata menyatakan, ia mungkin diterima Israel lebih awal.
Pentagon turut mengulangi pendirian Washington menyokong Tel Aviv bagi membangunkan dan mengekalkan kemampuan pertahanan Israel.
Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, dalam satu hantaran di platform X, mengucapkan terima kasih kepada pegawai AS atas bantuan dan komitmen mereka memperkukuhkan keupayaan ketenteraannya di rantau Asia Barat.
AS yang juga sekutu dan pembekal senjata terbesar Israel, telah menghantar lebih 10,000 unit bom pemusnah seberat 907 kilogram dan ribuan peluru berpandu Hellfire sejak permulaan konflik di perang Gaza pada Oktober lalu.
Sejak itu, Israel melancarkan serangan ke Gaza hampir setiap hari dan turut membedil sekolah serta kem pelarian, mengakibatkan kematian dalam kalangan orang awam termasuk kanak-kanak. – AGENSI










