Angka korban penduduk Gaza lepasi 40,000 orang

Angka korban penduduk Gaza lepasi 40,000 orang

- RAKYAT Palestin memeriksa tapak serangan Israel di al-Zawayda di tengah Semenanjung Gaza pada 17 Ogos 2024, di tengah-tengah konflik berterusan antara Israel dan Hamas.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Angka penduduk Gaza yang maut akibat serangan Israel kini berjumlah lebih 40,000 orang sejak konflik melanda wilayah itu bermula Oktober tahun lalu.

Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan jumlah itu merangkumi 16,456 kanak-kanak dan 11,000 wanita manakala 10,000 orang lagi dipercayai hilang dalam runtuhan bangunan, seperti dilaporkan Al-Jazeera.

Malah yang terbaharu, Reuters melaporkan sekurang-kurangnya 17 rakyat Palestin terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera dalam serangan Israel di bandar Zawayda tengah Gaza kelmarin, kata pegawai kesihatan.

Keganasan berlaku sebelum Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken dijangka tiba di Israel pada semalam untuk bertemu dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, hari ini.

Perkembangan itu sekali gus menepis laporan stesen penyiaran Israel, Kan TV sebelum ini yang melaporkan tentera Israel sudah menamatkan serangan di Semenanjung Gaza.

Kan TV yang memetik pegawai keselamatan kanan, mela­porkan aktiviti ketenteraan di Gaza secara amnya sudah ber­akhir, tetapi Israel boleh kembali dan memasuki Gaza semula jika ada maklumat risikan baharu.

Kebanyakan yang terbunuh di Zawayda merupakan daripada keluarga yang sama dan mereka termasuk lapan kanak-kanak dan empat wanita, menurut pegawai kesihatan.

“Mereka tidur di katil mereka, kanak-kanak dan bayi, kemudian tiga peluru berpandu menyasarkan tempat itu,” kata mangsa, Abu Ahmed Hassan.

“Tiada aktiviti ketenteraan (perlindungan) sama sekali di sini seperti didakwa Israel,” tambahnya.

Malah menurut penduduk beribu-ribu telah keluar dari Maghazi untuk berlindung daripada serangan Israel.

Pada Jumaat, Khan Younis ditetapkan sebagai zon kemanusiaan namun dianggap berbahaya oleh tentera Israel dan mereka diarah berpindah dari situ.

Menurut Pejabat Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) berkata, arahan Israel pada Jumaat itu merangkumi kawasan lain di luar zon kemanusiaan.– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×