KUALA SELANGOR: Seorang murid perempuan maut manakala ibunya yang juga guru parah selepas kereta dinaiki bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 12 Jalan Kuala Selangor-Rawang di sini, semalam.
Kejadian kira-kira pukul 2 petang itu berlaku ketika dua beranak berusia lapan dan 34 tahun dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di sekitar daerah ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Mohd. Ambia Nordin berkata, siasatan awal mendapati kereta Toyota Vios mangsa dalam perjalanan dari Bestari Jaya ke Kuala Selangor.
Jelas beliau, pemandu wanita itu bagaimanapun dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh lalu terbabas ke laluan bertentangan.
“Ketika kejadian, sebuah lori dipandu lelaki berusia 58 tahun tidak sempat mengelak lalu bertembung dengan kereta mangsa.
“Kemalangan itu mengakibatkan tiga mangsa termasuk kanak-kanak yang berada di tempat duduk penumpang hadapan parah dan dibawa ke Hospital Tanjong Karang,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Mohd. Ambia, kanak-kanak itu bagaimanapun disahkan meninggal dunia di wad kecemasan hospital berkenaan, kira-kira pukul 5 petang.
“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa akibat kecederaan di kepala. Ibu mangsa dan pemandu lori itu pula dibawa ke Zon Merah bagi mendapatkan rawatan lanjut,” ujarnya.
Tambah beliau, siasatan lanjut masih dijalankan pihaknya mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN










