Amhari penjawat awam korup – Peguam

Amhari penjawat awam korup – Peguam

Muhammad Shafee Abdullah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pembelaan Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa Mahkamah Tinggi di sini untuk mengetepikan keterangan saksi pendakwaan kelapan yang juga bekas pegawai khas bekas Perdana Menteri, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin kerana lelaki itu adalah seorang penjawat awam yang korup.

Menurut peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Amhari telah menerima ‘pinjaman’ AS$200,00 daripada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low bagi membantunya membeli sebuah rumah berharga RM1.85 juta pada 2010.

“Amhari mempunyai banyak alasan untuk melepaskan dirinya daripada (dakwaan) bersubahat dengan Jho Low dan menyalahkan Najib. Kredibi­litinya boleh diselamatkan jika kesalahannya adalah disebabkan oleh arahan atau kelulusan atasannya dan bukannya motif rasuah peri­badinya,” kata peguam terbabit.

Selain itu, Muhammad Shafee menyatakan, pendakwaan gagal membuktikan kes mereka apabila tidak memanggil mana-mana ahli Kabinet untuk memberi keterangan bagi membuktikan `dakwaan’ mereka telah dipe­ngaruhi oleh Najib untuk bersetuju dengan cadangan mengeluarkan Jaminan Kerajaan untuk Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA).

Menurut keterangan saksi sebelum ini, Jaminan Kerajaan itu adalah berkaitan bon pinjaman Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) berjumlah RM5 bilion. TIA kemudian ditukar menjadi 1MDB pada September 2009.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akran Gharib menjelaskan isu kepen­tingan bukan merupakan elemen utama yang perlu dibuktikan dalam Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah Malaysia (SPRM), iaitu kesalahan membabitkan salah guna kedudukan.

Ujarnya, walaupun pihak pendakwaan tidak menyatakan secara spesifik kepentingan secara langsung, pertuduhan pertama yang dikenakan terhadap Najib secara jelas menunjukkan tempat, masa dan tarikh bekas Perdana Menteri itu menggunakan kedudukannya sebagai penjawat awam untuk mendapatkan suapan.

Ahmad Akram bagaimanapun tidak menjelaskan dengan le­bih mendalam memandang­kan perkara itu akan disebut dalam hujahan balasan mereka kelak.

Pendakwa raya itu memberikan penjelasan tersebut selepas disoal oleh Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berhubung elemen penting yang perlu dibuktikan dalam seksyen tersebut.

Najib berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.28 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana le­bih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan perbuatan itu di antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan mengi­kut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Hujahan bersambung hari ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN