Amanah Johor kerap ungkit jawatan, bukan DAP atau PKR

Amanah Johor kerap ungkit jawatan, bukan DAP atau PKR

DATUK Abdul Halim Suleiman
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: DAP dan PKR Johor memahami nuansa politik di negeri ini di mana kerajaan negeri terbentuk sebelum wujudnya Kerajaan Perpaduan peringkat Pusat, sebaliknya hanya Parti Amanah Negara (Amanah) Johor yang kerap kali mengungkit soal jawatan.

Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman berkata, Amanah Johor juga bersikap seperti kacang lupakan kulit apabila menuntut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang disandang UMNO.

Katanya, sebelum ini UMNO dan Barisan Nasional (BN) berlapang dada membantu kempen calon Amanah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.

“Selama ini suasana politik dan pentadbiran Johor berada dalam aman damai dan harmoni selepas piihan raya negeri (PRN) dan Piihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu di mana DAP serta PKR menghormati kedudukan pucuk pimpinan kerajaan negeri. Ini kerana dua parti itu faham, kerajaan Johor sekarang dibentuk sebelum PRU15 dan sebelum adanya Kerajaan Perpaduan.

“Tapi cuma Amanah Johor sahaja yang cari pasal atau buat hal dengan ungkit mengenai lantikan Exco dan jawatan ketua kampung di Johor. 

“Malah Amanah Johor juga kata tiada istilah parti penyandang kepada 56 kerusi DUN Johor kerana mereka merasakan PH di negeri ini dianggap sebagai pembangkang,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tambah Abdul Halim, Amanah Johor tidak perlu berpura-pura menjadi mangsa kononnya mereka dianiaya, diketepikan dan dianggap sebagai pembangkang. 

“Sepatutnya Amanah Johor ambil sikap dan pendekatan lebih harmoni serta profesional macam DAP dan PKR Johor yang menghormati UMNO-BN di negeri ini.

“Apatah lagi dengan kedudukan Amanah Johor yang serba kekurangan dari segi ahli dan jentera parti serta hanya mengharapkan undi daripada bukan Melayu saja sedangkan DUN Mahkota merupakan kawasan majoriti Melayu. 

“Adakah Amanah Johor sekali lagi nak tunggang jentera kempen UMNO dan tagih undi daripada orang UMNO untuk menangkan mereka lagi? Tepuk dada tanya iman, bukannya tanya nafsu. 

“Biarlah UMNO dan BN terus kekal bertanding di kerusi tradisi itu. Amanah Johor kena hormat UMNO macam mana UMNO beri laluan kepada mereka sebelum ini,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN