PETALING JAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) akan memfailkan permohonan bagi menggantung pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan kerajaan memindah milik tanah seluas 263.272 ekar (106.542 hektar) di Mukim Batu di Kuala Lumpur kepada Semantan Estate Sdn Bhd (SESB).
Kenyataan AGC memaklumkan jabatan itu bagi pihak Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan juga akan memfailkan rayuan berhubung keputusan itu.
“SESB telah memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya Pendaftar Hak Milik Wilayah Persekutuan memindah milik tanah seluas 263.272 ekar di Mukim Batu, Daerah Kuala Lumpur kepada syarikat itu di bawah Seksyen 417 Kanun Tanah Negara 1965.
“Pada hari ini (semalam), Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membenarkan permohonan supaya tanah tersebut dipindah milik kepada SESB,” kata kenyataan AGC semalam.
Tanah yang mencetuskan kontroversi itu terletak di lokasi utama Jalan Duta dengan dibangunkan antaranya Kompleks Lembaga Hasil Dalam Negeri, beberapa bangunan kerajaan, Stadium Hoki Nasional, Institut Kefahaman Islam Malaysia dan Masjid Wilayah Persekutuan.
Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh membenarkan saman pemula Semantan Estate selepas mendengar hujah kedua-dua pihak semalam.
Mahkamah juga menolak permohonan kerajaan untuk menangguhkan perbicaraan sementara menunggu cadangan penyelesaian oleh kerajaan berhubung pertikaian tanah berkenaan.
“Mahkamah memerintahkan defendan (Pendaftar Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) untuk melaksanakan syarat yang diminta dalam tempoh tiga bulan bermula hari ini,” katanya.
Hakim juga memerintahkan kerajaan agar membayar kos sebanyak RM50,000. Beliau memerintahkan defendan agar mendaftarkan plaintif (Semantan Estate) sebagai pemilik tanah, melaksanakan semua surat cara pindah milik serta mengeluarkan dokumen hak milik tanah tanpa bebanan dan liabiliti atas nama plaintif.- UTUSAN










