SHAH ALAM: Sebanyak 41 rakyat Palestin yang cedera akibat kezaliman rejim Israel terpaksa menempuh perjalanan panjang kira-kira 16 jam dalam operasi khas yang dijalankan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membawa mereka ke negara ini.
Kesemua mereka yang turut ditemani waris masing-masing dibawa dengan dua buah pesawat A-400M Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu selamat mendarat, kira-kira pukul 2.15 petang. semalam.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ATM telah mengaturgerak dua pesawat ke Kaherah, Mesir kelmarin dalam misi kemanusiaan itu dan ia tidak diuar-uarkan atas faktor keselamatan.
“Kita berunding selama dua bulan dengan kerajaan Mesir dan akhirnya menjadi negara kelima yang menerima pesakit Palestin.
“Rakyat Palestin yang dibawa ke Malaysia menjalani proses tapisan ketat bagi memastikan mereka boleh melalui tempoh penerbangan yang panjang,” katanya selepas menyambut ketibaan 127 rakyat Palestin terlibat di Pangkalan Udara TUDM Subang di sini, semalam..
Turut hadir, Duta Mesir ke Malaysia, Ragai Tawfiq Said Nasr dan Duta Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali.
Menurut Mohamed Khaled, kesemua warga Palestin yang cedera itu akan mendapatkan rawatan di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan, Kuala Lumpur.
“Mereka terdiri daripada 20 lelaki dan 21 wanita berusia antara lapan bulan sehingga 62 tahun.
“Rawatan yang diberikan kepada pesakit termasuk melibatkan kecederaan patah dan kehilangan anggota badan terutama kaki dan tangan, luka parah di kepala, kecederaan mata dan lain-lain penyakit,” ujarnya.
Katanya, proses rundingan itu turut melibatkan Kementerian Luar dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Mohamed Khaled berkata, pesakit yang cedera itu akan disaring terlebih dahulu di hospital medan di Pangkalan TUDM Subang sebelum dibawa ke HAT Tuanku Mizan bagi menerima rawatan lanjut.
“Sebanyak 26 ambulans akan membawa pesakit itu dan tiga wad khas di HAT digunakan bagi menempatkan mereka.
“Seramai 86 waris pesakit pula akan ditempatkan di lokasi transit disediakan oleh Kementerian Pertahanan,” ujarnya.
Dalam pada itu, kata Mohamed Khaled, tindakan Malaysia membawa warga Palestin berkenaan bertujuan mengurangkan risiko berbanding mengoperasikan hospital medan di negara bergolak tersebut.
“Risiko membina hospital itu di Palestin amat tinggi dan anggota kita terdedah dengan pelbagai ancaman termasuk dibom Pasukan Pertahanan Israel (IDF).
“Lebih baik bawa balik pesakit mendapatkan rawatan di negara ini tanpa gangguan dan lebih selamat di sini,” katanya. – UTUSAN










