Zulfarhan tidak mengaku curi komputer riba walau didera hingga akhir hayat  - Hakim

Zulfarhan tidak mengaku curi komputer riba walau didera hingga akhir hayat  – Hakim

ZULKARNAIN Idros (bapa Zulfarhan Osman) menangis sejurus selepas Mahkamah Rayuan Putrajaya mengumumkan keputusan rayuan berkaitan kes kematian anaknya. UTUSAN/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan menyifatkan, Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain dibuli secara melampau oleh sekumpulan penuntut universiti itu, tujuh tahun lalu berhubung dakwaan kecurian komputer riba yang tidak dibuktikan.

Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail berkata, enam bekas penuntut itu memilih Zulfarhan, 21, dan menderanya termasuk menekap alat sulit dengan seterika wap panas untuk mencungkil maklumat berhubung kehilangan komputer riba milik salah seorang daripada mereka, Muhammad Akmal Zuhairi Azmal.

Selain Muhammad Akmal, lima yang lain ialah Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd. Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd. Ali.  Kesemuanya kini berusia 28 tahun.

Hakim itu berpendirian, terdapat 90 kesan tekapan seterika wap pada 80 peratus bahagian badannya kecuali muka dan belakang tapak tangan manakala 29 kesan lecuran paling serius (darjah ketiga) turut dikesan pada tubuh Zulfarhan.

Beliau berkata, keterangan saksi pendakwaan ke-24 (SP24,) Ahmad Senabil Mohamad menyatakan, tubuh mangsa ditekap secara bergilir-gilir atas arahan perayu keenam, Abdoul Hakeem yang dituduh bersubahat dengan lima yang lain. 

Selain itu, ujar beliau, keterangan saksi pendakwaan keenam (SP6), Pakar Patologi Forensik, Hospital Serdang, Dr. Salmah Arshad menyatakan, kesan terbakar yang teruk itu mencukupi untuk meragut nyawa mangsa. 

Pada hemat Hakim Hadhariah, keterangan SP24 dan SP25 adalah konsisten dengan keterangan SP6 bahawa tekapan dilakukan oleh perayu pertama hingga kelima secara berulang dalam tempoh sejam selepas mendengar hasutan perayu keenam.

“Meskipun selepas dipukul berkali-kali, ditekap dengan seterika, diperas bagi mendapatkan pengakuan berhubung kecurian komputer riba, mangsa sehingga akhir hayatnya tidak mengaku mencurinya.

“Perayu pertama marah selepas dimaklumkan oleh salah seorang penuntut bahawa solat hajat yang dilakukan bapa lelaki tersebut menunjukkan komputer yang baru dibeli itu dicuri oleh Zulfarhan,” ujar beliau.

Pada hemat Hakim Hadhariah, kecederaan yang dialami oleh mangsa mencukupi bagi membuktikan elemen membunuh dengan niat seperti yang dikehendaki oleh Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

`Hakim bicara berubah fikiran dengan menolak keterangan SP6 walhal beliau menerima keterangan pakar tersebut pada kes pendakwaan.  

“Pada pendapat kami, hakim berkenaan terkeliru  apabila menyatakan tidak diketahui kecederaan yang mana satu pada badan simati yang menyebabkan kematian,” ujar beliau.

Sehubungan itu, panel tersebut berpuas hati Mahkamah Tinggi terkhilaf ketika mensabit mereka di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian Zulfarhan tanpa niat.

Hakim Hadhariah membacakan alasan penghakiman setebal 93 muka surat selama hampir tiga jam dalam rayuan keenam-enam bekas penuntut UPNM itu terhadap sabitan dan hukuman penjara 18 tahun yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

Beliau yang  bersidang bersama-sama Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin membenarkan rayuan silang pendakwa raya untuk mengembalikan Seksyen 302 dan mengetepikan Seksyen 304(a) yang dipinda oleh Mahkamah Tinggi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN