KUALA LUMPUR: Selepas sekian lama menetap di Amerika Syarikat (AS), penyanyi antarabangsa, Yuna yang berpangkalan di negara itu mengakui mengambil tempoh ‘rehat’ di Kuala Lumpur lebih lama.
Kata Yuna atau nama sebenar Yunalis Mat Zaraai, 38, kali ini dia akan berada di sini sehingga Oktober untuk meluangkan lebih masa dengan keluarganya dan juga komuniti seni di sini.
“Memang saya membuat keputusan bersama suami saya mahu balik Malaysia untuk masa yang lama dan Alhamdulillah keputusan itu diterima dengan baik.
“Jadi saya ambil langkah perlahan untuk buat ‘base’ saya di Kuala Lumpur sebab saya rasa kualiti kehidupan di Kuala Lumpur jauh lebih baik dan saya pun mahu pulang dan memberi sumbangan kepada komuniti seni di Malaysia, arena muzik di Malaysia,” ujarnya.
Kongsi penyanyi Terukir Di Bintang itu, dia mahu tinggal di Malaysia kerana berasa dirinya sudah tua dan mahu sarapan nasi lemak di sini setiap hari.
Yuna ditemui di sidang media program realiti Gimme The Mic di The Bee, Publika, di sini, hari ini. Yuna menjadi salah seorang juri di program itu selain Ajai dan Hael Husaini serta Bunga Citra Lestari.
Bercakap mengenai tanggungjawabnya sebagai juri, Yuna berkata dia teruja untuk berada dalam program yang mengetengahkan ramai bakat seperti dirinya dulu yang berusaha mencari ruang di platform media sosial.
“Sebenarnya keputusan saya untuk sertai program ini saya tidak fikir panjang. Mungkin sebab saya tahu saya nak balik Kuala Lumpur dan sebelum ini saya memang terima banyak tawaran menjadi juri, tapi tidak berkesempatan untuk buat perkara menyeronokkan ini di sini sebab saya di Los Angeles.
“Untuk saya buat program sebegini saya kena duduk di sini lebih kurang dua bulan, sebab sudah tentu saya nak bagi komitmen terbaik. Jadi ini adalah masa yang tepat sebab saya memang balik lama untuk bekerja dan bersama dengan keluarga saya.
“Saya sukakan idea yang mana kita mencari raw talent, bukannya untuk artis yang sudah established, kita boleh tengok bakat yang menarik. Itu yang buat saya mahu jadi sebahagian dari program ini sebab saya nampak diri saya sebagai peserta, itu yang saya cakap mereka, jom buat,” katanya.
Dalam masa sama, Yuna berkata dia juga akan tampil dengan beberapa lagu baharu selain berharap untuk menjayakan lebih banyak program amal.
“Saya ada muzik baharu yang akan keluar, insyaAllah tahun ini. Ada empat lagu yang saya sudah buat selama beberapa bulan ini, jadi saya akan keluarkan itu dulu. Selain itu ada beberapa program lagi dan saya juga berharap saya boleh melakukan banyak program amal bersama suami saya,” ujarnya.-UTUSAN