PETALING JAYA: Yayasan Bank Rakyat (YBR) merangkul Anugerah Yayasan Tahunan bagi kategori perbankan di Majlis Anugerah Kelestarian dan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Malaysia 2024.
Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang berkata, pengiktirafan kali keempat berturut-turut diterima syarikat itu, atas inisiatif yang dijalankan bagi tujuan meningkat sosioekonomi rakyat Malaysia melalui pendidikan.
Menurutnya, syarikat itu turut melaksanakan program kemasyarakatan yang dijalankan sepanjang tahun 2023 bagi membantu mereka yang kurang bernasib baik.
“Anugerah ini adalah merupakan tanda pencapaian YBR sepanjang penubuhan dalam melaksanakan tanggungjawab sosial korporat sepanjang tahun.
“Justeru diharapkan agar YBR akan terus mengekalkan momentum dalam membantu masyarakat Malaysia yang memerlukan bantuan tanpa mengira bangsa, kaum dan agama,” katanya dalam kenyataan.
Penyerahan anugerah yang berlangsung di Hotel Berjaya Time Square, Kuala Lumpur disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.
Philip menambah, sepanjang tahun 2023 YBR telah membelanjakan sebanyak RM28.35 juta sebagai peruntukan bantuan pendidikan dan masyarakat.
“Pengiktirafan ini merupakan bukti kesungguhan YBR dalam membantu mereka yang memerlukan serta semangat yang jitu dalam meningkatkan tahap sosio ekonomi masyarakat.
“Kami akan sentiasa komited serta mempelbagaikan strategi dalam membantu meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi rakyat Malaysia melalui pembangunan pendidikan, pemerkasaan masyarakat serta bantuan penjagaan kesihatan,” katanya.
Beliau berkata, penghormatan yang diberikan itu membuktikan impak positif di atas penglibatan dan komitmen berterusan YBR.
“YBR ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung yang menjadi sebahagian daripada kejayaan ini,” katanya. –UTUSAN











