MERSING: UMNO bersifat terbuka dan sedia meneliti sebarang cadangan yang bertujuan mengubah peraturan sistem pemilihan parti itu.
Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, peraturan sistem pemilihan UMNO melibatkan jawatan tertinggi hanya dilakukan jika terdapat keperluan atau sudah sampai masanya.
“Sebagaimana yang kita ketahui pemilihan UMNO ini hanya dibuat pada 2026. Jadi ada tempoh dua tahun daripada sekarang untuk membina peraturan sedia ada dan ia perlu dibawa ke perhimpunan agung khas kalau melibatkan pindaaan Perlembagaan.
“Kalau sekadar melibatkan peraturan ia dibawa kepada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi. Bagaimanapun kita jangan fikirkan tentang soal pemilihan parti kerana ia akan dibuat perubahan pada tahun ini atau tahun hadapan.
“Maka saya harap agar semua kepimpinan parti di peringkat nasional, negeri dan pelbagai peringkat agar kita tumpukan kepada kerja-kerja memperkuatkan parti,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Mersing di Dewan Jubli Intan, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, parti itu menghormati gesaan Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah agar DAP tidak turun berkempen dalam Pilihan Raya Negeri (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.
Menurutnya, gesaan tersebut perlu disantuni dan tidak berhasrat mengguris perasaan mana-mana parti politik.
“Kita menghormati pandangan Tengku Razaleigh jika ada parti-parti politik dalam komponen yang berhasrat untuk membantu PRK di negeri supaya tidak datang untuk membantu kerana jumlah pengundian sesuatu etnik itu kecil.
“Maka pandangan itu harus disantuni dengan tidak berhasrat mengguris perasaan mana-mana parti politik yang berhasrat membantu. Saya yakin oleh kerana Tengku Razaleigh adalah ahli politik veteran dan beliau berada di Gua Musang sejak berdekad lama, jadi kita menghormati pandangan itu,” katanya.
Sementara itu ditanya mengenai sekolah rintis Johor yang akan diperkenalkan bermula tahun depan, Ahmad Zahid menyifatkannya sebagai satu program yang bagus.
“Walaupun saya memahami ia di bawah kerajaan negeri tetapi saya yakin dengan program yang bagus ini dan harus mendapat dukungan kerajaan Persekutuan. Saya secara peribadi memberikan sokongan terhadap pelaksanaan skim pembelajaran ini,” katanya.
Hari ini, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memaklumkan berhubung sekolah tersebut bertujuan menyediakan pendidikan Bangsa Johor yang lebih maju dan berdaya saing pada masa depan.
Onn Hafiz berkata, menerusi kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor, sekolah rintis itu juga sebagai usaha memberikan pendidikan yang berkualiti dengan tumpuan khusus akan diberikan terhadap penguasaan Sains, Teknologi, Kejuteraan Matematik (STEM) dan Bahasa Inggeris. – UTUSAN










