PETALING JAYA: pemanah muda negara, Ariana Nur Dania Mohamad Zairi mengakui masih terdapat beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki selepas tewas kepada Indonesia pada pusingan penyingkiran acara recurve berpasukan di Sukan Olimpik Paris.
Trio negara yang dibarisi Ariana, Syaqiera Mashayikh dan Nurul Azreena Mohamad Fazil terpaksa akur dengan kekalahan 3-5 di tangan Indonesia yang dibarisi Diananda Choirunisa, Syifa Nurafifah Kamal dan Rezza Octavia.
Pada acara recurve berpasukan semalam, Ariana mempamerkan peningkatan berbanding persembahannya dalam saingan ranking individu pada Khamis lalu.
“Hari ini kami bermain sebagai pasukan dan saya tetap berpuas hati walaupun kami kalah. Saya tahu kami boleh lakukan dengan lebih baik malah kami pernah buat lagi baik namun ini kali pertama kami beraksi secara berpasukan di Sukan Olimpik.
“Saya fikir daripada kekalahan ini kami ambil pengajaran terhadap apa penambahbaikkan yang perlu dibuat supaya kami boleh beraksi lebih baik selepas ini,” katanya.
Indonesia dilihat sebagai pilihan pada aksi tersebut selepas dua pemanah mereka menduduki ranking di bawah 100 terbaik dunia iaitu Diananda (38) dan Rezza (70) berbanding pasukan negara hanya Ariana di tempat ke-42.
Trio memanah negara masih berpeluang untuk menebus kekecewaan di atas kekalahan itu apabila ketiga-tiga mereka bakal turun beraksi dalam acara individu yang dijadual berlangsung esok.
Syaqiera yang membuat penampilan kedua di pentas Olimpik akan berdepan pemanah Moldova, Alexandra Mirca manakala Ariana akan bertemu pemanah Itali, Chiara Rebagliati dan Nurul Azreena menentang Elif Berra Gokkır dari Turkiye.










