‘Tolonglah datang ke sekolah’ Cikgu sumbang hadiah basikal

‘Tolonglah datang ke sekolah’ cikgu sumbang hadiah basikal, galak murid ke sekolah

MURID Orang Asli, Andrian a/l Kefli (berdiri, depan) menerima hadiah sebuah basikal yang disempurnakan penyampaiannya oleh wakil Pegawai Pendidikan Jerantut di Sekolah Kebangsaan Sungai Kiol, Jerantut baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HANYA guru sahaja mengetahui sikap serta perangai anak muridnya sama ada suka terhadap pembelajaran di kelas, aktiviti kokurikulum dan koakademik hatta keinginan untuk hadir sekolah.

Ada sebilangan murid khususnya dalam kalangan Orang Asli yang perlu diberi nasihat dan motivasi untuk hadir ke sekolah dan suka belajar di dalam kelas di samping inisiatif galakan yang lain.

Motivasi pembelajaran bukan sahaja berbentuk puji-pujian dan galakan malahan guru terpaksa memberikan pelbagai hadiah untuk menarik minat murid hadir ke sekolah.

Dalam hal ini, guru terpaksa berkorban mengeluarkan wang saku sendiri berbelanja hadiah, iaitu sekecil-kecil pemberian sebatang pensil yang paling murah hinggalah hadiah yang mahal seperti basikal, tablet, skuter elektrik, jersi atau pakaian dan sebagainya.

Bekas Guru Besar, Abd. Manaf Mat, 61, mempunyai caranya yang tersendiri untuk menggalakkan muridnya yang terdiri daripada Orang Asli hadir ke sekolah di beberapa buah sekolah tempat dia mengajar sebelum bersara pada Januari lalu.

Menceritakan pengalamannya, Abd. Manaf berkata, kehadiran penuh murid untuk mengikuti pembelajaran amat penting.

“Sejak saya bertugas sebagai Guru Besar di Sekolah Kebangsaan (SK) yang muridnya terdiri daripada komuniti Orang Asli perkara utama yang saya hadapi, iaitu masalah kehadiran dalam kalangan segelintir murid.

“Puas diajak sehingga saya meredah hutan pergi rumah mereka (murid Orang Asli), tetapi tidak berkesan. Lama-kelamaan timbul penyelesaian, iaitu dengan menawarkan hadiah kedatangan penuh harian atau melebihi 95 peratus kepada murid Orang Asli,” katanya.

Menurut Abd. Manaf, dia menguar-uarkan pada waktu perhimpunan hari Isnin akan menyediakan hadiah basikal kepada murid sekiranya rajin ke sekolah dengan merekodkan kedatangan penuh harian setiap bulan.

“Inisiatif pertama sumbangan basikal ketika saya bertugas di SK Sinderut, sekolah terletak di pedalaman Ulu Jelai, Lipis pada 2013, iaitu sebuah sekolah murid Orang Asli dengan menawarkan tiga buah basikal dengan belanja duit poket sendiri kepada murid yang dipilih khas mempunyai kedatangan penuh dua bulan berturut-turut.

“Selain basikal, saya bersama guru juga berbelanja pensil termasuk pensil warna, bekas pensil, buku tulis dan jersi permainan sebagai hadiah iringan kepada murid yang dipilih mencapai kehadiran harian setiap bulan,” katanya.

Dia berkata, nyata sekali pendekatan itu berjaya memulihkan kedatangan murid Orang Asli ke sekolah dan selepas hadiah pertama disumbangkan nampaknya kehadiran harian keseluruhan tercatat sehingga 98 peratus.

 

Abd. Manaf berkata, amalan memberikan hadiah yang mahal seperti basikal dilaksanakan setiap dua bulan, manakala pensil, buku tulis dan jersi permainan setiap bulan mengikut kemampuan.

Ceritanya lagi, amalan itu diteruskan sehingga bertugas di tempat baharu, iaitu di SK Limau Purut, Lipis (2019), SK Ulu Tembeling, Jerantut dan sekolah terakhir sebelum bersara, iaitu SK Sungai Kiol, Jerantut (22 September 2022 – 10 Januari 2024).

Abd. Manaf berkata, semasa bertugas di SK Sungai Kiol, Jerantut yang terdiri daripada murid Orang Asli etnik Jahut, amalan yang sama dilakukan dengan menawarkan hadiah basikal serta pelbagai hadiah sampingan untuk menggalakkan murid hadir ke sekolah di samping berjaya dalam bidang akademik dan kokurikulum.

“Wang sendiri sudah banyak dibelanjakan untuk sumbangan kepada murid di sekolah bukan sahaja untuk kehadiran penuh malahan menjangkau kepada sumbangan terhadap kejayaan mereka dalam bidang lain termasuk keceriaan landskap sekolah.

“Selain guru, sumbangan ini juga kami terima daripada dermawan luar termasuk pertubuhan bukan kerajaan yang prihatin dengan kebajikan murid Orang Asli,” katanya.-

Guru besar hargai komitmen Cikgu Abd. Manaf

Guru Besar Sekolah Kebangsaan Sungai Kiol, Mohd. Rosdi Mohd. Diah berterima kasih serta kagum dengan aspirasi bekas Guru Besar itu semata-mata mahu memajukan bidang akademik, kokurikulum dan pembinaan insan kira-kira 100 orang murid di situ.

“Saya teruja apabila Cikgu Abd. Manaf memberitahu hendak meneruskan sumbangan berkenaan untuk slot kedatangan penuh ke sekolah kerana dia (Abd. Manaf) sangat prihatin dengan murid

Orang Asli di sini, lagi pun usaha kebajikan berkenaan sudah banyak kali dilakukan di sekolah lain sebelum ini.

“Kita turut mengadakan majlis penyerahan basikal dan sebuah tablet sumbangan Cikgu Abd. Manaf serta hadiah iringan lain daripada guru di sini untuk murid yang dipilih berasaskan kedatangan terbaik dengan mengundang Penolong Pegawai Pendidikan Jerantut (Hal Ehwal Murid), Mohd. Redzuan Abdul Manaf untuk menyempurnakan serahan hadiah tersebut,” katanya.

Beliau berkata, selain sumbangan basikal dan tablet daripada Cikgu Abdul Manaf, guru di situ juga menyediakan hadiah sebuah skuter, sebuah toto (alas tidur) dan 39 hadiah sampingan lain sempena majlis tersebut.

Selanjutnya Mohd. Rosdi berkata, dia juga akan meneruskan amalan yang dilakukan oleh bekas Guru Besar itu dengan menyediakan hadiah mengikut kemampuan untuk melestarikan rekod kedatangan harian terbaik termasuk kejayaan bidang akademik serta kokurikulum dalam kalangan murid Orang Asli di situ.

Dalam pada itu, penerima hadiah basikal bagi kedatangan penuh, murid Tahun Lima, Erin a/p Ajis,11, berkata, dia teruja serta tidak terungkap dengan kata-kata apabila menerima hadiah sebuah basikal berharga RM300 daripada bekas Guru Besar sekolah itu.

“Ketika bertugas di sini, Cikgu Abd. Manaf gemar memberikan hadiah kepada kami yang berjaya dalam pelajaran, sukan dan permainan tetapi dia (Abd. Manaf) lebih suka membelikan hadiah basikal kepada murid yang rajin ke sekolah,” katanya. –UTUSAN

Nota: Pembaca yang ingin berkongsi pengalaman di sekolah atau bersama murid atau guru boleh e-mel ke [email protected]

 

 

 

 

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×