BALING: Lebih 15 pemilik dusun durian di Kampung Teluk Temelah mengadu tidak dapat membawa keluar hasil tanaman mereka dengan segera berikutan tebing titi besi yang menghubungkannya ke jalan luar telah rosak.
Kesulitan itu bukan sahaja dialami oleh pemilik dusun buah-buahan, malah penoreh getah dan pemilik kebun kelapa sawit juga mengalami masalah yang sama.
Ketua Kampung, Mohd Azman Yusuf, 50, berkata masalah titi besi yang rosak ini berlarutan sejak lebih lima tahun yang lalu.
“Titi besi yang menghubungkan laluan ke dusun buah dan kebun getah serta kelapa sawit ini rosak akibat hakisan tebing oleh aliran air banjir yang kerap berlaku sejak akhir-akhir ini.”
“Jarak dari tebing yang runtuh ke titi besi yang sedia ada hampir empat meter, ini menyukarkan mereka membawa motosikal atau kereta masuk ke dalam kebun untuk membawa keluar hasil tanaman mereka,” kata Mohd Azman ketika ditemui di Kampung Teluk Temelah, semalam.
Menurutnya, beberapa aduan telah dilakukan kepada wakil rakyat dan pihak berwajib, namun setelah datang melawat tiada lagi khabar berita.
Beliau berharap pihak berwajib segera membaiki titi besi tersebut agar kerosakannya tidak menjadi lebih teruk kerana keadaan musim hujan lebat sentiasa berlaku dan pekebun dapat mengeluarkan hasilnya untuk dijual serta tidak lagi menanggung kerugian.
Pemilik kebun durian, Mohd. Ridzuan Jamaludin, 43, berkata pada masa sekarang buah durian mulai luruh dan mereka tidak dapat membawa keluar hasil buah-buahan tersebut dengan segera menyebabkan berlaku kerosakan pada buah.
“Kami mengalami kesukaran membawa keluar buah-buahan ini kerana jarak kebun jauh ke dalam bukit lebih kurang satu kilometer dan kenderaan tidak boleh masuk rapat ke dalam kebun ataupun pinggir bukit.”
“Kami perlu mengangkutnya sedikit demi sedikit dengan menggunakan guni, apabila menggunakan tenaga sendiri yang semakin berumur ini berapa banyak sangat yang kami mampu mengangkutnya, akhirnya buah yang luruh kami biarkan begitu sahaja.” katanya.
Mohd. Ridzuan berkata, buah durian yang luruh harus dibawa keluar segera untuk dijual kerana jika dibiarkan buah akan rosak dan menyebabkan mereka mengalami kerugian.
Begitu juga dengan buah kelapa sawit yang telah masak terpaksa dibiarkan begitu sahaja kerana tiada kenderaan yang boleh masuk untuk mengangkutnya keluar.
Jika ingin membawa keluar, mereka terpaksa meredah anak sungai yang kedalaman dari tebingnya lebih tiga meter dengan menanggung buah-buahan itu untuk ke seberang.
Keadaan menjadi bertambah sulit apabila berlakunya hujan lebat dan paras air anak sungai menjadi tinggi dan dalam serta laju menyebabkan mereka sukar untuk menyeberanginya.
Ahmad Tajudin Mohamad, 54, pula berkata, mereka bergotong royong menebang pokok-pokok hutan dan pokok pinang untuk menyambung titi besi itu sebagai ikhtiar untuk membawa keluar hasil kebun.
“Kami baharu sahaja membaiki titi ini bagi memudahkan laluan sementara untuk membawa keluar hasil buah-buah ini dengan segera kerana inilah hasil pendapatan kami untuk setahun sekali.”
“Jika melalui titi ini harus berhati-hati kerana ia tidak kukuh, kami juga bimbang sekiranya berlaku kemalangan atau kejadian yang diingini yang boleh mengancam keselamatan nyawa kami,” jelasnya. – UTUSAN










