Tipu e-Kasih: Buruh dipenjara 48 bulan, 14 sebatan

Tipu e-Kasih: Buruh dipenjara 48 bulan, 14 sebatan

MUHAMMAD Halmi Ismail mengaku bersalah terhadap semua 13 tuduhan menipu membabitkan tawaran bantuan e-Kasih di dua Mahkamah Majistret Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang buruh dijatuhi hukuman penjara 48 bulan dan 14 sebatan oleh dua Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas 13 kesalahan menipu membabitkan tawaran bantuan e-Kasih dengan jumlah kerugian RM6,380.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tertuduh, Muhammad Halmi Ismail, 49, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan dalam prosiding yang dijalankan di hadapan Majistret Siti Nora Sharif dan Majistret S. Punitha.

Terdahulu, di hadapan Siti Nora, lelaki itu didakwa atas dua pertuduhan menipu sebelum dijatuhi hukuman dua tahun penjara dan satu sebatan bagi setiap pertuduhan.

Hukuman penjara terhadap tertuduh itu bagaimanapun berjalan serentak dari tarikh sabit hukuman, hari ini.

Bagi dua lagi pertuduhan, tertuduh dikenakan hukuman masing-masing satu tahun penjara dan satu sebatan yang akan dijalaninya selepas tamat tempoh pemenjaraan di Penjara Alor Setar, Kedah pada 29 Jun 2025. 

Sementara itu, di hadapan Punitha, tertuduh yang berhadapan baki sembilan lagi pertuduhan dikenakan hukuman penjara 15 tahun dan dua bulan serta 10 sebatan. Semua hukuman penjara itu berjalan serentak berkuat kuasa hari ini.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada empat anak itu didakwa dengan curang menipu seramai 13 individu hingga mendorong mereka menyerahkan wang tunai antara RM200 hingga RM900 untuk mendapatkan bantuan e-Kasih yang tidak wujud.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di beberapa lokasi di Ipoh termasuk bank, hospital dan pasar raya sejak 1 Januari hingga 23 Julai 2024.

Pendakwaan terhadap Muhammad Halmi dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara setahun hingga 10 tahun dan dengan sebat serta denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqilah Syaza Ariffin; Nuranisah Ismah Muhammad Hussaini dan Nurul Hidayu Zakaria manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Robert Gnanarajan, M. Kanthan dan Dayang Nor Emilia Azman Shah.   

Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai bantuan ditahan semula pada 2 Julai lalu di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, Kedah.

Tangkapan terhadap suspek dibuat susulan laporan polis yang diterima daripada mangsa yang terpedaya helah tertuduh kononnya dapat membantu dalam permohonan bantuan e-Kasih.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN