SEREMBAN: Sepatutnya, pasangan suami isteri, Mazihan Mahat, 54, dan Norafiza Abd. Rahman, 54, dari Taman Pinggiran Senawang di sini, berangkat ke Tanah Suci pada 22 Julai lalu bagi menunaikan umrah.
Namun apakan daya, ujian menimpa mereka selepas wang simpanan untuk menunaikan ibadah itu terpaksa digunakan untuk tujuan rawatan penyakit dihidapi Mazihan iaitu kencing manis dan buah pinggang.
Akibat penyakit itu, kedua-dua kaki lelaki berkenaan juga dipotong dua tahun lalu dan pada Mei lepas.
Norafiza berkata, sejak itu, mereka kini hanya bergantung kepada pencen ilat selepas Mazihan terpaksa berhenti kerja pada 2021 dan menggunakan wang simpanan yang ada.
“Sepatutnya 22 Julai lalu kami dijadual berangkat ke Tanah Suci tetapi disebabkan Mazihan mengalami masalah kesihatan kronik, ia terpaksa dilepaskan. Kos pembedahan kedua-dua belah kaki suami memang menggunakan sebahagian duit simpanan.
“Bagaimanapun, kami sedar kesihatan dan nyawa melebihi dari segala-galanya. Suami cakap, kalau sudah sihat nanti dan ada rezeki, niat pertama dia memang mahu pergi mengerjakan umrah,” katanya ketika ditemui di sini.
Norafiza berkata, dia juga berhenti kerja semata-mata untuk menjaga suaminya itu.
“Selepas ketiadaan kedua-dua belah kaki akibat kuman yang merebak berpunca penyakit kencing manis dan buah pinggang yang dihadapi, suami tidak berdaya serta hanya terlantar di katil.
“Rutin harian saya adalah menguruskan segala keperluan suami termasuk membuat dialisis. Biarpun kesihatan suami kian stabil namun urat sarafnya masih lemah dan menyebabkan pada sebelah malam saya perlu mengurutnya untuk membolehkan darah berjalan,” katanya.
Katanya, dia perlu membelanjakan sekurang-kurangnya RM600 sebulan untuk semua keperluan penjagaan suaminya.
“Buat masa ini kami hanya menerima bantuan peralatan daripada Baitumal selain bantuan eKasih untuk pembaikan rumah. Namun permohonan bagi mendapatkan bantuan terlantar dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) masih dalam proses,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan bantuan ke akaun Maybank bernombor 155135232481 atas nama Norafiza Abdul Rahman atau boleh menghubunginya di talian 014-956 9112. – UTUSAN










