Takungan air tiga negeri terjejas

Takungan air tiga negeri terjejas

DUA orang pesawah memegang kepingan tanah yang merekah di kawasan bendang mereka di Kampung Semadong, Beseri, Padang Besar, Perlis, semalam. Mereka antara 70 pesawah yang terkesan akibat cuaca panas yang melanda ketika ini. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG TERAP: Takungan air di empa­ngan dan tasik di tiga negeri iaitu Perlis, Kedah dan Perak kini terjejas dan berada pada tahap membimbangkan ekoran paras air semakin menyusut akibat cuaca panas dan kemarau yang me­landa ketika ini.

Malah, ketiga-tiga empangan utama di Kedah iaitu Empangan Muda, Empangan Pedu dan Empangan Ahning akan dika­tegorikan sebagai kritikal sekiranya jumlah takungan menyusut kepada 343,756 ekar kaki atau kira-kira 30 peratus.

Setakat hari ini, paras takungan tiga empangan utama itu berada pada tahap 45 peratus berbanding 47 peratus pada Khamis lalu, dan ia dijangka akan terus menyusut ekoran cuaca panas diramal berterusan sehingga pertengahan September ini.

Situasi ini turut mengancam puluhan ribu hektar tanaman padi dan ribuan petani di ketiga-tiga negeri itu bakal kerugian akibat sawah kering-kontang dan tanah merekah.

Berdasarkan semakan Utusan Malaysia dengan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang mengendalikan ketiga-tiga empangan itu, trend penurunan tersebut menyaksikan takungan semasa berjumlah 551,369 ekar kaki.

Daripada jumlah itu, Empangan Pedu merekodkan takungan sebanyak 357,655 ekar kaki bersamaan 40.87 peratus, manakala Empangan Muda sebanyak 10,450 ekar kaki (8.36 peratus) dan Empangan Ahning sebanyak 183,264 ekar kaki (82.44 peratus).

Bagaimanapun, MADA menegaskan, takungan di ketiga-tiga empangan itu masih dikategorikan sebagai normal dan tinggi jika dibandingkan dengan rekod terendah pernah dicatatkan.

“Sebagai rekod, paras dan takungan terendah pada tahun 1974 hingga 2023 bagi Empangan Pedu adalah 98,100 ekar kaki dan Empangan Muda 3,380 ekar kaki serta Empangan Ahning 60,200 ekar kaki.

“MADA sedang menjalankan kerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Meteorologi (METMalaysia) dan Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) untuk melaksanakan pembenihan awan di dalam kawasan tadahan empangan.

“Operasi pembenihan awan (OPA) bergantung kepada keadaan atmosfera yang sesuai seperti kelembapan yang tinggi, kehadiran awan kumulus dan kelajuan angin yang lemah bagi membolehkan penghasilan hujan yang tepat di kawasan sasaran,” kata jurucakap MADA kepada Utusan Malaysia semalam.

Sementara itu di Perlis, cuaca panas dan kemarau ketika ini juga menyaksikan bekalan air di Empangan Timah Tasoh di Padang Besar yang berfungsi sebagai takungan bekalan air domestik dan pengairan pertanian terus menyusut sehingga paras bawah 27.10 meter.

Paras di situasi waspada itu direkodkan sehingga 16 Julai dengan penyusutan sudah mula berlaku sejak Jun lalu.

Perkembangan itu menyaksikan bekalan air untuk tujuan pertanian tidak dapat dibekalkan sehinggalah paras empangan kembali berada pada paras melebihi 27.10 meter sekali gus bakal memberi kesan kepada 3,075 hektar kawasan tanaman padi di negeri ini.

Di Kampung Semadong, Beseri sahaja, kira-kira 70 pesawah di kawasan seluas 86 hektar terjejas berikutan sawah kering kontang dengan keadaan tanah pula merekah. Sumber pengairan pesawah di situ hanya bergantung kepada hujan dan empangan Timah Tasoh

Sebagai rekod, empangan Timah Tasoh yang berkeluasan 20 kilometer persegi itu dapat menampung kapasiti takungan sebanyak 40 juta meter padu dengan kedalaman aras normal pula ialah sekitar 29.1 meter.

Manakala di Perak pula, akibat paras air yang kritikal di Tasik Bukit Merah selepas mencatatkan 6.325 meter (m) pada Selasa lalu, bekalan air ke sawah yang terpaksa dihentikan sejak 28 Jun lalu sehingga kini mengakibat hampir 5,000 hektar sawah di Daerah Kerian, Bagan Serai terjejas.

Pengarah Kawasan Pemba­ngunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kerian, Noor Mazirah Teh berkata, antara kawasan sawah yang terlibat termasuk di Kuala Kurau, Jalan Siakap, Alor Pongsu, Bagan Serai, Masjid Tinggi, Parit Gabis, Telok Medan, Semanggol dan Selinsing.

Katanya, keluasan sawah yang terlibat dengan masalah iaitu ialah 4,890 hektar yang melibatkan 2,162 pesawah.

“Untuk membantu pesawah, IADA menghantar 37 unit pam air pelbagai saiz di lokasi yang terlibat untuk mengepam air dari parit.

“Semua pam diletakkan di kawasan yang mempunyai sumber air di tali air dan juga menggunakan semula air yang ada di parit buang dan sungai berdekatan.

“Kami juga mengambil inisia­tif untuk mempertingkatkan penggunaan sumber air bawah tanah. Terdapat empat projek mendapatkan sumber air bawah tanah yang dibuat tahun lepas dan tahun ini,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, bagi mengatasi masalah cuaca panas dan kering, kerajaan melalui beberapa agensi melancarkan operasi pembenihan awam melibatkan empat tangki campuran garam dan air yang bermula hari ini sehingga Rabu depan.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia), kerjasama OPA itu melibatkan Agensi Pengurusan Bencana (Nadma); Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Met Malaysia.

Katanya, ia turut disertai oleh MADA, Lembaga Sumber Asli Negeri Kedah; IADA Kerian dan Kementerian Pertanian dan Kerjasama.

“Bagi melaksanakan OPA, pesawat C-130 Hercules milik TUDM berlepas dari Pangkalan Udara TUDM Subang dengan membawa empat tangki air yang mengandungi campuran 800 kilogram garam dan 6,000 liter air yang disediakan oleh pihak MET Malaysia,

Operasi pembenihan awan libatkan empat tangki campuran garam, air,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN