PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd. Puad Zarkashi menyifatkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq sebagai ahli politik muda yang mempunyai banyak masalah.
Beliau juga menyatakan rasa simpati terhadap nasib yang menimpa Ahli Parlimen Muar tersebut apabila kemenangannya dalam acara triathlon di Johor Bahru dibatalkan.
“Saya amat bersimpati dengan Syed Saddiq. Dia ahli politik muda yang banyak masalah.
“Kini dia bergelar ‘sang juara DNF’ (did not finish atau tidak tamat). Kemenangannya dibatalkan. Inilah bahana bila ahli politik terlalu obses menjadi populis.
“Dia pernah buat larian dari Muar ke Parlimen untuk kutip dana. Kes terbaru ini mencemarkan nama baik Parlimen. Mujur Syed Saddiq tidak umum kejayaannya di Parlimen,” katanya di Facebook miliknya, hari ini.
Semalam, Syed Saddiq memohon maaf atas kesilapan yang berlaku dalam satu acara triathlon di Johor Bahru, Sabtu lepas.
Menurutnya, kesilapan berlaku kerana dia tersilap mengambil laluan kategori lain yang lebih pendek dalam acara berbasikal.
Dia pada mulanya mendapat tempat ketiga dalam acara 113 Triathlon Desaru 2024 yang diadakan pada 6 dan 7 Julai lalu.
Pertikaian mula muncul apabila dia berkongsi gambarnya ketika menyertai acara itu yang merangkumi larian 131km, renang 2.25km, basikal 90km dan larian 21.1km dan menyuarakan rasa bangga apabila dapat menamatkannya dengan catatan masa lima jam dan 44 minit.
Namun, seorang pengguna Instagram mendakwa bekas Presiden Muda itu melengkapkan perlumbaan basikal dengan hanya dua pusingan (60km) dan tidak melengkapkan keseluruhan tiga pusingan sejauh 90km.
Tambah Puad berkata, kesilapan Syed Saddiq itu menghakis kepercayaan rakyat kepada pemimpin pelapis.
“Dia terselamat daripada dihadapkan ke Jawatankuasa Pilihan Khas (Parlimen). Dia kata rakyat susah tetapi kenapa buat kerja wakil rakyat ‘did not finish’? Dia menghakis kepercayaan rakyat pada pemimpin pelapis muda,” katanya. – UTUSAN










