Syarikat arak taja sekolah: Penganjur khilaf sebelum jemput Aiman Athirah - Anfaal - Utusan Malaysia

Syarikat arak taja sekolah: Penganjur khilaf sebelum jemput Aiman Athirah – Anfaal

Saari Sungib
ANFAAL SAARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Penganjur konsert amal dekat Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (Cina) Tche Min, di Sungai Pelek, Sepang, dipercayai tidak memaklumkan status penaja utama pada program berkenaan sebelum kehadiran Kehadiran Ketua Wanita Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Aiman Athirah Sabu.

Menurut Timbalannya, Anfaal Saari, beliau percaya berlaku kekhilafan pada jemputan program tersebut dan menyifatkan Aiman yang juga Ahli Parlimen Sepang tidak mengetahui syarikat arak gergasi sebagai penaja utama.

Katanya, bagaimanapun kehadiran beliau ke program tersebut bukanlah menyokong syarikat tersebut sebaliknya sebagai penghormatan yang diterima dan perlu memenuhi undangan memandangkan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu merupakan salah seorang penyumbang.

“Mungkin berlaku khilaf yang mana pegawai ataupun kesediaan untuk melihat sebelum majlis itu bermula yang mana penaja utama merupakan syarikat arak, Tiger dan itu tidak menunjukkan beliau bersetuju dan sokong.

“Saya merujuk kepada kenyataan rasmi daripada Pusat Khidmat Parlimen Sepang semalam yang menyatakan bahawa majlis tersebut merupakan majlis makan malam atau pendanaan untuk sebuah sekolah dalam Parlimen Sepang dan ahli parlimennya hadir sebagai salah seorang penyumbang,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Anfaal menambah, namun isu tersebut menjadi alat oleh parti lawan untuk memberi tohmahan sedangkan Aiman Athirah sebagai wakil rakyat sudah tentu akan hadir kerana menyalurkan sumbangan kepada sekolah berkenaan.

Bagaimanapun, Anfaal yang juga ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor mengingatkan isu sedemikian melibatkan sensitiviti rakyat dan agama, justeru ia perlu diperhalusi serta dijaga.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Dewan Pemuda Pas Selangor menyelar tindakan menormalisasikan syarikat yang tidak mesra keluarga seperti arak dan judi dinormalisasikan dekat institusi pendidikan seperti sekolah.

Ketuanya, Mohamed Sukri Omar berkata, lebih dikesalkan apabila Aiman Athirah yang juga pemimpin kerajaan dilihat seperti ‘bersubahat’ selain mempersoalkan pendirian Amanah dalam memperjuangkan dan menjaga kesucian Islam yang dianggap semakin terancam dengan sikap liberalisasi bertopengkan Islam.

Namun, Pejabat Pusat Khidmat Parlimen Sepang dalam kenyataannya menjelaskan Wanita Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Aiman Athirah Sabu dinafikan terlibat dalam Konsert Amal Pendidikan di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Tche Min, Sepang yang dikatakan menerima tajaan daripada syarikat arak pada awal bulan lalu.

Sebaliknya, beliau dijemput menghadiri majlis tersebut sebagai salah seorang penyumbang dalam pengumpulan dana awam kepada sekolah berkenaan bagi pembinaan sebuah dewan.

“Selain Aiman Athirah, ramai lagi penyumbang persendirian serta syarikat-syarikat termasuk Syarikat Tiger yang menyumbang sebanyak RM 3 juta dan para alumni sekolah serta penduduk membeli meja sebanyak 160 buah bagi menambah kutipan dana pada malam tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN