Suspek bunuh Farah Kartini ditahan tugas - KPN - Utusan Malaysia

Suspek bunuh Farah Kartini ditahan tugas – KPN

ANGGOTA polis berpangkat Lans Koperal, Muhamad Aliff Monjani (tengah) diiring polis Ketika berjalan keluar dari kompleks mahkamah selepas didakwa bagi kes pembunuhan Nur Farah Kartini di Mahkamah Kuala Kubu Baharu, Selangor semalam. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Anggota polis yang didakwa atas pertuduhan membunuh Nur Farah Kartini Abdullah dikenakan tindakan tahan kerja.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Bukit Aman sudah menerima cadangan daripada Ketua Polis Perak untuk menahan kerja anggota polis terbabit.

“Bukit Aman menerima cadangan itu untuk menahan kerja anggota polis terbabit,” katanya ketika dihubungi di sini.

Terdahulu, anggota polis itu dilaporkan didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, dekat sini, semalam atas pertuduhan membunuh Nur Farah Kartini yang mayatnya ditemukan di sebuah ladang kelapa sawit.

Lans Koperal Muhammad Alif Monjani, 26, didakwa membunuh bekas penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, Hulu Bernam di sini antara 10 Julai hingga 15 Julai lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Nur Farah Kartini, 25, yang hilang sejak 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan, ditemukan meninggal dunia di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, Felda Gedangsa, Hulu Selangor.

Mayatnya ditemukan kira-kira 6 petang, 15 Julai lalu dipercayai dibunuh individu dikenali dan susulan itu, polis menahan anggota polis berpangkat lans koperal berusia 26 tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN