Sultan Nazrin rasmi akademi bomba Wilayah Utara - Utusan Malaysia

Sultan Nazrin rasmi akademi bomba Wilayah Utara

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah memeriksa perbarisan kawalan kehormat pada perasmian Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Utara di Tronoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU GAJAH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Utara di Tronoh di sini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim. Berangkat sama, Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim.

Pembinaan bangunan akademi membabitkan keluasan sekitar 40 hektar tersebut menelan kos sebanyak RM40 juta itu siap dibina pada tahun 2014 dan telah beroperasi dengan kekuatan kakitangan seramai 50 orang pegawai yang diketuai oleh seorang Komandan iaitu Pegawai Bomba Gred KB48.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming semasa sembah ucapannya berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kini mempunyai lima buah akademi iaitu Wilayah Tengah di Selangor, Wilayah Timur di Terengganu, Wilayah Utara di Perak serta Wilayah Sabah dan Wilayah Sarawak.

Katanya, bagi menyokong program latihan, pembangunan fasiliti seperti simulator Compartment Fire Behaviour Training (CFBT), Breathing Apparatus Training Gallery (BATG), Rel Keretapi dan Simulator Gas Spill turut dibina.

Selain itu jelasnya, pihak akademi juga memanfaatkan kemudahan lombong sedia ada bagi latihan penyelamatan di air seperti kursus pengendalian bot dan pemantapan latihan bagi pasukan khas pasukan penyelamatan di Air.

“ABPM Wilayah Utara ini telah dijadikan hub dan pusat kecemerlangan bagi latihan penyelamatan di air,” katanya dalam majlis perasmian itu di sini hari ini.

Kor Ming juga berkata, di bawah Rancangan Malaysia ke-12, kerajaan meluluskan peruntukan tertinggi dalam sejarah iaitu sebanyak RM267.6 juta di bawah perbelanjaan peruntukan pembangunan JBPM yang merangkumi 17 projek baharu dan 47 projek sambungan di seluruh Malaysia.

Katanya, bagi tahun 2024, kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM53.8 juta bagi projek baharu fizikal binaan yang merangkumi pembinaan baharu, naik taraf dan penyelenggaraan fasiliti kebombaan termasuk balai dan kuarters.

Beliau berkata, peruntukan sebanyak RM64.8 juta telah diluluskan bagi pelaksanaan projek baharu fizikal kelengkapan JBPM bagi tahun 2024 untuk perolehan baharu dan penyelenggaraan jentera dan kenderaan bomba.

“Patik selaku Menteri yang bertanggungjawab, berjanji akan memberikan komitmen penuh terhadap program dan inisiatif JBPM ke arah pemerkasaan perkhidmatan kebombaan dan penyelamatan demi kesejahteraan rakyat,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN