KUALA TERENGGANU: Sepasang suami isteri direman enam hari bermula hari ini sehingga Ahad bagi membantu siasatan kes salah guna kuasa sejak 2022.
Majistret Noor Mazrinie Mahmood mengeluarkan perintah reman terhadap pasangan berusia 30-an itu mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
Terdahulu mereka tiba di pekarangan mahkamah pukul 10.20 pagi ini berpakaian lokap diiringi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Suspek lelaki yang bekerja di sebuah agensi sebelum itu ditahan di pejabatnya pukul 12 tengah hari semalam manakala isterinya ditahan di rumah mereka sejam kemudian.
Dia disyaki menggunakan jawatan dengan mencadangkan sebut harga syarikat isterinya bagi mendapatkan kerja pembekalan di agensi berkenaan bernilai lebih RM200,000.
Mereka disyaki melakukan perbuatan itu sejak 2022 sehingga tahun lalu dan disiasat di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009.
Menurut sumber, siasatan awal mendapati perbuatan itu juga melibatkan beberapa jenis kerja pembekalan berbeza yang turut berada dalam perhatian SPRM.
Pengarah SPRM negeri, Hazrul Shazreen Abd. Yazid, ketika dihubungi tidak menolak tangkapan susulan akan dibuat bagi membantu siasatan kes berkenaan. – UTUSAN










