Suami isteri dicekup bawa syabu RM1.8 juta guna lori kurier - Utusan Malaysia

Suami isteri dicekup bawa syabu RM1.8 juta guna lori kurier

Kurier syabu
HUSSEIN Omar Khan menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas bernilai RM1.8 juta, pada sidang akhbar dekat Dewan Mes Pegawai Kanan, IPK Selangor, di Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pasangan suami isteri dicekup selepas didapati membawa 57.6 kilogram (kg) syabu menggunakan lori sebuah syarikat perkhidmatan kurier di sekitar Puchong Jaya, Puchong, baru-baru ini.

Kedua-dua suspek berusia lingkungan 40-an termasuk seorang penghantar barang itu ditahan polis ketika dalam perjalanan dari Serdang Jaya, kira-kira pukul 4.45 petang, 27 Jun lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, penahanan hasil maklumat dan risikan itu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut ke atas lori itu menemukan sebanyak 56 bungkusan plastik keemasan di dalam tujuh guni berisi tanah.

“Kesemua bungkusan itu didapati mengandungi dadah syabu seberat 57.63kg yang dianggarkan bernilai RM1.84 juta.

“Ujian saringan air kencing mendapati seorang daripada suspek iaitu lelaki yang bekerja sebagai penghantar barang positif ganja,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Tambahnya, siasatan awal mendapati bekalan dadah itu diperoleh dari negara jiran di utara tanah air dan mahu dipasarkan di sekitar Lembah Klang.

“Pasangan suami isteri itu dipercayai menghantar pesanan yang diterima menerusi aplikasi syarikat kurier berkenaan. Kita masih menyiasat sama ada mereka mengetahui pesanan itu adalah dadah atau sebaliknya sekali gus mengenalpasti sindiket pengedaran dadah tersebut,” ujarnya.

Jelas Hussein, kedua-dua suspek direman selama seminggu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya turut menumpaskan sindiket pengedaran heroin dan ganja bernilai lebih RM120,000 dalam dua serbuan berasingan pada Sabtu lalu serta semalam.

“Sindiket pertama melibatkan penahanan seorang lelaki berusia 48 tahun dengan rampasan heroin seberat 4.4kg di Jalan Sulaiman, Ampang pukul 4.45 petang.

“Bagi kes ganja, tukang masak lelaki berusia 24 tahun diberkas bersama 26.2kg ketulan mampat dadah itu di dalam bonet kereta dipandunya di kawasan parkir Hentian Sungai Buloh, pukul 4.30 pagi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN