YAN: “Saya menunaikan solat sunat tahajud pukul 3 pagi setiap hari sebelum mengulang kaji pelajaran sebagai ‘ganti’ kepada tidak menyertai mana-mana kelas tuisyen berbayar agar tidak membebankan ibu.
Demikian kata Nur Hafizah Sobri, 19, yang memperoleh keputusan cemerlang Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0 dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023 yang diumumkan semalam.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Yan itu berkata, dia mengamalkan rutin itu sejak awal-awal mendaftar di tingkatan enam dan akhirnya bersyukur apabila mencatat semua A dalam empat mata pelajaran diambil iaitu Pengajian Am, bahasa Melayu, Sejarah dan Geografi.
“Ibu saya hanya bergantung pendapatan sebagai tukang jahit kecil-kecilan untuk menyara kami lapan beradik setelah kematian bapa sembilan tahun lalu. Ibu juga bangun awal pagi untuk sediakan sarapan sepanjang saya mengulang kaji.
“Malah setiap hari juga saya mengayuh basikal ke sekolah sejauh tiga kilometer kerana tidak mahu mengganggu rutin ibu menjahit pakaian pelanggan agar dia memperolehi wang bagi menyara kami sekeluarga,” katanya ketika ditemui semalam.
Nur Hafizah yang bercita-cita menjadi seorang guru berkata, dia turut mengamalkan membaca al-Quran sebelum memulakan ulang kaji pelajaran.
Sementara itu, ibunya, Asma Harun, 56, memberitahu, Nur Hafizah memahami bahawa pendapatannya sebagai tukang jahit tidak menentu dan disebabkan itu anak keenamnya itu tidak pernah meminta apa-apa perkara di luar kemampuannya.
“Dia anak yang baik, dengar cakap dan tidak pernah susahkan kami terutama hal kewangan. Malah semua perbelanjaan harian hasil pemberian kakak dan abangnya disimpan dan jarang dia minta daripada saya kerana tahu kesusahan menjadi tukang jahit kampung,” katanya. -UTUSAN










