PETALING JAYA: Pendirian Malaysia terhadap sokongan kepada Palestin tidak sama sekali memberikan impak kepada Malaysia apabila ekonomi negara terus mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan sebanyak 4.2 peratus pada suku pertama 2024 yang disokong aktiviti ekonomi domestik berdaya tahan.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, meskipun terdapat usaha memboikot perniagaan syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan Israel oleh sebahagian rakyat Malaysia sebagai tanda sokongan kepada Palestin, namun ia dilihat tidak memberikan kesan yang signifikan kepada ekonomi negara.
Beliau menambah, pelaburan langsung asing bersih pada suku pertama 2024 mencatatkan sebanyak RM5.5 bilion terutamanya daripada Hong Kong dan Amerika Syarikat (AS).
“Bagi tempoh Januari hingga Mei 2024, jumlah perdagangan negara mencatatkan peningkatan sebanyak 10.3 peratus kepada RM246.3 bilion terutamanya perdagangan dengan China, Singapura dan AS.
“Momentum ekonomi yang positif ini menunjukkan bahawa ekonomi negara tidak terjejas oleh pendirian Malaysia mengenai isu Palestin,” katanya dalam jawapan lisan di Dewan Negara semalam.
Terdahulu, Senator Datuk Seri S. Vell Paari meminta Menteri Ekonomi menyatakan apakah impak ekonomi terhadap negara Malaysia akibat sokongan berterusan Kerajaan Malaysia kepada Palestin.
Menurut Rafizi, sehingga kini, tiada sekatan ekonomi dikenakan oleh negara pro Israel kepada Malaysia meskipun Malaysia tegas dalam isu melibatkan penduduk Palestin.
Tambah beliau, Kerajaan Malaysia secara terang-terangan menyatakan pendirian untuk menggunakan segala platform untuk menyokong Palestin menamatkan kekejaman di Gaza, dan membawa Israel ke muka pengadilan sejak berlakunya konflik bermula 7 Oktober 2023.
Justeru itu, katanya, pendirian tegas itu telah mencetuskan kebimbangan mengenai kesan terhadap ekonomi memandangkan sebahagian negara dagang utama negara merupakan penyokong Israel.
“Pada 20 Disember 2023, Malaysia telah memutuskan untuk menyekat dan tidak membenarkan syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel, kapal yang menggunakan bendera Israel dan menuju perjalanan ke Israel daripada memuatkan kargo dan berlabuh di pelabuhan Malaysia,” katanya.
Bagaimanapun Rafizi menjelaskan momentum pertumbuhan ekonomi jelas menunjukan bahawa negara tidak terjejas oleh pendirian mengenai isu Palestin. – UTUSAN










