Sikap ibu bapa punca OKU kategori belajar meningkat

Sikap ibu bapa punca OKU kategori belajar meningkat

SIKAP go­lo­ngan ibu bapa yang sukar menerima anak mereka berkemungkinan mempu­nyai masalah kelainan upaya menyebabkan jumlah OKU Kate­gori Pembelajaran meningkat setiap tahun. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sikap go­lo­ngan ibu bapa yang sukar menerima anak mereka berkemungkinan mempu­nyai masalah kelainan upaya menyebabkan jumlah Orang Kelainan Upaya (OKU) Kate­gori Pembelajaran meningkat setiap tahun.

Hal ini kerana, kebanya­kan ibu bapa cenderung bersikap menolak (in denial) biarpun mengetahui ada ke­kurangan pada anak-anak mereka, selain tidak memberi pendedahan meluas ke­pada anak-anak untuk me­ne­roka lebih banyak perkara.

Pensyarah yang juga Pakar Sosiologi Pendidikan da­ri Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebang­saan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, punca masalah pembelaja­ran berlaku adalah dise­bab­kan kemahiran kognitif in­di­vidu atau kebolehan in­di­vidu untuk berfikir dan mem­beri (bertindak) yang lemah.

“Kita kena faham bahawa tidak semua individu mempunyai kemampuan kognitif yang sama kerana dipe­nga­ruhi oleh banyak faktor. Misalnya, ada kanak-kanak yang daripada kecil tidak mendapat zat pemakanan yang baik atau kurang zat. Dia berhadapan dengan malnutrisi yang mengganggu pembelajaran dan kognitif dia.

“Ada juga masalah pembe­lajaran ini disebabkan oleh persekitaran.

Misalnya dalam satu keluarga itu ibu bapa mereka langsung tidak memberi simulasi atau ruang untuk anak berfikir dan bermain dengan maklumat yang baru. Ia menjadikan mereka kurang pengalaman, kurang interaksi sekali gus menjadikan kognitifnya rendah.

“Ada juga ibu bapa yang tidak mahu mengakui keadaan anak mereka sehingga enggan mengambil langkah awal seperti mendapatkan pengesahan daripada pakar perubatan dan menjalani terapi khas,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Malaysia merekodkan lebih 200,000 individu sebagai OKU Pembelajaran dan jumlah itu semakin meningkat setiap tahun.

Berdasarkan statistik OKU Pembelajaran mencatatkan kategori yang tertinggi berbanding kategori lain dengan merekodkan sejumlah 267,279 orang setakat Februari lalu.

Jumlah itu melibatkan seramai 182,537 golongan lelaki manakala bakinya adalah 84,742 bagi golongan wanita berdasarkan Statistik OKU (Aktif) berdaftar mengikut jantina dan kategori.

Berdasarkan statistik itu juga, kanak-kanak berusia antara 6 hingga 12 tahun mencatat rekod tertinggi iaitu 70,442 orang diikuti umur 22 hingga 35 tahun (69,825 orang), umur 13 hingga 18 tahun (60,369 orang) dan umur 19 hingga 21 tahun (24,520 orang).

Bagi statistik sama mengikut etnik pula merekodkan kaum Melayu mencatatkan seramai 181,131 orang, diikuti Cina (35,907 orang), Lain-lain (19,191 orang) dan India (11,743).

Terdahulu, berdasarkan rekod Sistem Maklumat Orang Kurang Upaya (SMOKU), sejumlah 712,570 OKU telah berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga 31 Mei lalu.

Kategori OKU Pembelajaran mendahului rekod dengan 274,783 orang, diikuti Fizikal (240,159 orang), Penglihatan (60,342 orang), Mental (56,930 orang), Pendengaran (45,671 orang), Pelbagai (30,902 orang) dan Pertuturan (3,783 orang).

Mengulas lanjut Anuar berkata, bahan pembelajaran di rumah juga memainkan peranan penting dalam mempengaruhi kognitif anak.

“Kadang-kadang ada rumah tidak ada apa-apa bahan bacaan yang boleh membina kerangka untuk berfikir. Jadi, akhirnya anak-anak ini berada dalam keadaan kognitif rendah. Mereka akan berhadapan dengan kawan-kawan yang boleh membaca, bercakap dan banyak pengalaman.

“Namun, punca ini tidak dapat dikesan pada peringkat awal sehingga keluar keputusan prestasi akademik di sekolah,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Pengurusan, Pendidikan dan Kemanusiaan Kolej Universiti Antarabangsa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Prof. Dr. Bustam Kamri berkata, antara cara bagi mengatasi peningkatan jumlah tersebut adalah dengan membuat pembangunan fizikal.

“Kerajaan atau Kementerian Pendidikan (KPM) boleh mempertimbang keputusan untuk membangunakan sebuah bangunan di sekolah yang bagi membina bilik darjah khas dengan memenuhi syarat kategori tersebut kerana bilik darjah sedia ada tidak sesuai untuk mereka.

“Selain itu, KPM juga boleh mengambil guru yang telah didedahkan dengan ilmu kemahiran seperti Sijil Kemahiran Pendidikan Awal Kanak-Kanak berbanding membebankan guru akademik.

“Ini kerana kanak-kanak kategori tersebut lebih cenderung melakukan pembelajaran secara ‘hands-on’ berbanding memaksa mereka untuk menguasai ilmu akademik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN