SHAH ALAM: Kerajaan negeri memberi jaminan projek Skim Jaminan Air Mentah (SJAM) dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang Oktober tahun ini dan pemaju projek tersebut tidak akan diberikan lanjutan berikutan kelewatan penyempurnaannya.
Exco Infrastruktur dan Pertanian, Izham Hashim berkata, projek tersebut yang merangkumi empat pakej membabitkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa Satu, Fasa Dua dan Fasa Tiga, mencapai 89.54 peratus kemajuan.
“Ini adalah 1.62 peratus lebih rendah daripada unjuran 91.16 peratus kemajuan mengikut jadual asal.
“Projek itu dijangka siap menjelang September. Ujian dan pentauliahan akan mengambil masa kira-kira dua minggu sebelum ia beroperasi sepenuhnya menjelang Oktober,” katanya pada Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze.
Tambahnya, Pakej D projek itu tertangguh secara tiba-tiba selepas pekerja di tapak menemui paip utiliti yang sebelum ini tidak dapat dikesan pada 16 Mei.
Jelas Izham, pada asalnya ia dijadualkan siap menjelang 30 Jun dan kerja tambahan dianggap perlu pada Pakej D untuk mengalihkan paip milik Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd.
“Kerajaan negeri memaklumkan kepada kontraktor bahawa tiada kelulusan lanjutan akan dipertimbangkan jika kelewatan itu ternyata disebabkan oleh kesalahan kontraktor sendiri.
“Sebaliknya, ganti rugi tercair pada kadar yang ditetapkan untuk tempoh kerja yang tidak siap akan dikenakan, mengikut peruntukan yang dipersetujui dalam syarat kontrak,’’ jelasnya.
Dalam pada itu, Izham yang juga ADUN Pandan Indah memberi jaminan, projek tersebut akan diserahkan kepada Air Selangor pada awal tahun depan sebaik sahaja ia siap.
Sebelum ini, Ng Mei Sze yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Pengurusan Air, Pertanian, Infrastruktur dan Mobiliti (Infragro) negeri, mengesyorkan pentadbiran negeri menegur pemaju projek Menta Sdn. Bhd. kerana kelewatan berulang kali. – UTUSAN










