PETALING JAYA: Serangan rejim Zionis terhadap rakyat Palestin sejak kebelakangan ini bukan saja semakin meningkat malah turut dilancarkan tanpa sebarang notis sehingga mengorbankan banyak nyawa tidak berdosa.
Lebih malang, rejim Zionis menghalau penduduk di sekitar Khan Younis untuk berpindah ke Gaza tengah namun kemudiannya mensasarkan serangan di kawasan tersebut seperti yang berlaku di kem pelarian al-Mawasi.
Siswazah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dari Gaza, Asmaa Hussein Eslayeh berkata, dia dan keluarganya terpaksa meninggalkan kediaman mereka untuk menuju ke kawasan berhampiran laut di Mawasi.
Katanya, keputusan itu diambil kerana bimbangkan keselamatan mereka sekeluarga selepas tentera Israel terus menerus menghantar notis mengosongkan kawasan kediamannya.
“Selepas beberapa hari menetap di kawasan tersebut tanpa tempat berlindung, kami memutuskan untuk mengambil apa saja risiko dan pulang ke rumah. Sebaik saja meninggalkan al-Mawasi, berlaku serangan yang mengorbankan ratusan nyawa di situ,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia, semalam.
Sehingga semalam, sekurang-kurangnya, seramai 38,848 rakyat Palestin di Gaza terbunuh dan 89,459 lagi parah dalam serangan dahsyat dilancarkan rejim Zionis sejak 7 Oktober tahun lalu.
Bagaimanapun, jumlah itu tidak mencerminkan angka sebenar kematian membabitkan rakyat Palestin di Gaza memandangkan lebih 10,000 lagi masih hilang dan dipercayai meninggal dunia di bawah runtuhan bangunan di wilayah tersebut.
Asmaa berkata, dua malam lepas, satu serangan udara dilancarkan rejim Zionis terhadap rumah saudaranya yang bersebelahan dengan kediamannya.
“Kami sedang duduk di balkoni kerana cuaca di Gaza ketika ini sangat panas, tiba-tiba satu serangan udara disasarkan ke rumah saudara saya di depan mata kami.
“Sukar untuk menjelaskan keadaan itu, seramai 15 orang di kalangan ahli keluarga saudara saya mengalami kecederaan parah namun syukur Alhamdulillah tiada yang terkorban,” katanya.
Mengulas lanjut, Asmaa berkata, sejak dua minggu lalu, serangan udara dilancarkan rejim Zionis semakin meningkat khususnya di sekitar kawasan Khan Younis tanpa diberikan sebarang notis.
“Serangan bukan saja mensasarkan kem pelarian rakyat Palestin malah kediaman yang masih tersisa di sekitar Khan Younis sehingga mengakibatkan banyak nyawa terkorban sedangkan kawasan menjadi sasaran adalah lokasi di mana kami diarahkan untuk berpindah,” katanya. – UTUSAN










