Sidang DUN: Selangor sasar tawar 3,000 unit rumah Skim Smart Sewa pada 2025 - Utusan Malaysia

Sidang DUN: Selangor sasar tawar 3,000 unit rumah Skim Smart Sewa pada 2025

Skim Smart Sewa
AMIRUDIN Shari meninjau perumahan baharu Rumah Selangorku Kemuning Idaman selepas menyerahkan kunci kepada penerimanya di Kota Kemuning, Shah Alam, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Selangor menyasarkan tawaran Rumah Selangorku (RSKU) sehingga 3,000 unit kepada rakyat di negeri ini di bawah Skim Smart Sewa pada 2025.

Malah, negeri ini sudah pun menawarkan sehingga 1,287 unit rumah di bawah 32 projek Rumah Selangorku (RSKU) menerusi Skim Smart Sewa antara 2017 hingga 2023 dengan jumlah dana disediakan sebanyak RM240 juta.

Exco Perumahan dan Kebudayaan, Borhan Aman Shah berkata, skim yang ditawarkan tersebut adalah bertujuan membantu golongan yang gagal mendapatkan pinjaman perumahan.

“Matlamat utama adalah bagi membantu golongan yang gagal mendapatkan pinjaman perumahan supaya dapat menyewa kediaman daripada kerajaan negeri dengan kadar sewa yang berpatutan berbanding harga pasaran.

“Mereka akan diberi tempoh sewaan selama dua sehingga lima tahun penyewaan serta mendapat pulangan semula 30 peratus wang sewaan bersih apabila tamat tempoh sewaan,” katanya menjawab pertanyaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Syed Ahmad Abdul Rahman Alhadad pada Mesyuarat Kedua Penggal Ke-15 Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Dalam pada itu, Borhan yang juga ADUN Tanjung Sepat memberitahu, sehingga kini pembelian RSKU dilaksanakan di setiap daerah dengan keutamaan projek yang sudah siap, lokasi yang strategik, harga terkawal dan dengan mengambilkira spesifikasi bangunan dan kemudahan yang disediakan oleh pemaju.

“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri akan meneliti projek-projek RSKU yang berpotensi sekiranya ada di kawasan Lembah Jaya selaras dengan sasaran pembelian sehingga 3000 unit Skim Smart Sewa sehingga 2025,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN