PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan untuk segera mewujudkan Akta Saraan Hakim Syarie bagi menambah baik skim kumpulan perkhidmatan itu.
Perdana Menteri berkata, pada masa ini, skim perkhidmatan kehakiman syariah adalah mengikut skim biasa di bawah Skim Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD).
Katanya, kerajaan menyedari keperluan yang tinggi bagi mewujudkan keseimbangan antara Skim Perkhidmatan Kehakiman Syariah dan Perkhidmatan Sivil.
“Saya dimaklumkan tentang Akta Saraan Hakim Syarie, sekarang ini ikut dalam skim PTD biasa, jadi insya-Allah kita minta Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)) menyegerakan untuk kita kita angkat supaya ada Akta Saraan Hakim Syarie.
“Saya mudah sahaja, runding baik-baik selesai,” katanya Ketika berucap dalam majlis perasmian Konvensyen Memartabatkan Perundangan Syariah Di Malaysia di sini hari ini.
Cadangan bagi mewujudkan Akta Saraan yang merangkumi Hakim-hakim Syarie wajar dipertimbangkan bagi memastikan tiada lagi pandangan yang merendahkan status Hakim Syarie.
Pada masa sama, ia juga akan memberi kekuatan dan keberanian kepada para Hakim Syarie untuk mengaplikasikan perundangan dengan lebih berwibawa sekali gus memartabatkan institusi Mahkamah Syariah. – UTUSAN










