`Saya saman Muhyiddin kerana beliau enggan mohon maaf'

`Saya saman Muhyiddin kerana beliau enggan mohon maaf’

LIM GUAN ENG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, beliau tiada pilihan selain menyaman Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana enggan memohon maaf selepas memfitnahnya berhubung isu pembatalan pengecualian cukai terhadap sebuah yayasan kebajikan.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu mengulangi kenyataan fitnah sebanyak tiga kali walhal bukan beliau mengeluarkan pembatalan pengecualian cukai tersebut.

Menurut Guan Eng, isu yang dibangkitkan oleh Muhyiddin menyentuh yayasan berkenaan yang merupakan sebuah organisasi kebajikan Islam yang mana pembatalan itu didakwa dikeluarkan ketika beliau berjawatan Menteri Kewangan.

Beliau yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, kenyataan Muhyiddin menyentuh isu 3R (race, religion, royalty) yang boleh menggugat keharmonian kaum.

“Muhyiddin melencong dan mengganggu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan Jana Wibawa sedangkan kedua-duanya (organisasi itu dan Jana Wibawa tiada kaitan,” ujar beliau ketika menjawab soalan peguam Guok Ngek Seong yang mewakilinya.

Guan Eng selaku plaintif memberi keterangan pada perbicaraan kes saman fitnah terhadap Muhyiddin (defendan) atas dakwaan mengeluarkan tiga kenyataan fitnah berhubung pembatalan pengecualian cukai terhadap organisasi berkenaan.

Sementara itu, ketika menjawab soalan peguam Chetan Jethwani pada pemeriksaan balas, Guan Eng tidak bersetuju bahawa beliau bukan topik utama dalam kenyataan media Muhyiddin.

Saksi juga tidak bersetuju bahawa isu 3R tidak disebut kerana yang disentuh hanya melibatkan organisasi berkenaan.

Sementara itu, dalam kenyataan pembukaan, pasukan peguam mewakili Guan Eng berkata, keterangan saksi-saksi dan bukti berdokumen membuktikan bahawa pembatalan itu bukan dilakukan ketika pentadbiran 22 bulan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) antara Mei 2018 dan Februari 2020.

Sebaliknya, plaintif menyatakan, wujud surat bertarikh 5 Februari 2021 yang menjelaskan bahawa pembatalan pengecualian cukai terhadap yayasan itu dibuat ketika Muhyiddin (defendan) memegang jawatan Perdana Menteri.

“Pihak plaintif akan membuktikan bahawa pembelaan defendan penuh dengan penipuan, tidak berasas serta tidak disokong.

“Sebaliknya, defendan menggunakan Guan Eng sebagai `kambing hitam’ dan menyalahkan plaintif atas nama survival politik,” ujar kenyataan pembukaan kes saman itu.

Dalam writ saman dan pernyataan tuntutan yang difailkan pada 27 Mac 2023, Guan Eng berkata, Muhyiddin ditahan SPRM pada 9 Mac 2023 dan dibebaskan dengan jaminan pada sebelah petang.

Katanya, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengeluarkan kenyataan fitnah pada hari sama yang diikuti pada 11 dan 12 Mac 2023 di dalam Facebook miliknya dan kemudiannya diterbitkan oleh beberapa akhbar dan portal berita.

Menurut Ahli Parlimen Bagan itu, kenyataan fitnah berkenaan antaranya bermaksud beliau menyalahguna kedudukan dengan memberi kuasa atau mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk mengenakan cukai dan penalti ke atas yayasan kebajikan apabila ia tidak patut dikenakan cukai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×