SHAH ALAM: Pelawak veteran, Sathiya, 60, lega kerana mempunyai wang simpanan yang mencukupi bagi menampung kos rawatan ketika diserang angin ahmar ringan, minggu lalu.
Sathiya atau Sathia Periasamy, 60, bersyukur kerana tidak perlu membebankan mana-mana pihak dengan mengharapkan bantuan.
“Saya tidak harapkan duit sesiapa. Saya ada duit simpanan sikit untuk meneruskan hidup.
“Duit banyak mana sekalipun, tetap tiada gunanya. Selagi masih ada kudrat untuk bekerja, saya akan teruskan.
“Ada juga beberapa pihak dan persatuan yang bertanya khabar dan meminta nombor telefon,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di program Dari Poket Artis Ke Poket Artis 2.0 di sini, semalam.
Mengulas mengenai perkembangan kesihatan, Sathiya bagaimanapun mengelak daripada memandu kereta sejak dibenarkan keluar dari Hospital Kuala Lumpur pada Sabtu.
“Sejak kena serangan strok, saya tidak boleh memandu. Kereta saya letak di rumah dan anak yang guna. Sekarang kalau pergi kerja saya naik e-hailing,” katanya.
Dalam pada itu, pelakon sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu tersebut turut bersyukur kerana keadaan kesihatannya semakin baik dan masih kuat untuk terus bekerja.
“Saya okey dan sihat, belum mati lagi. Cuma mengalami serangan angin ahmar ringan saja.
“Sudah 40 tahun saya kerja. Selagi boleh kerja, saya kerjalah. Jika sudah tidak boleh, tiadalah.
“Anak saya dua orang sudah besar dan berkahwin. Sekarang saya kerja untuk isteri saya sahaja.
“Apa-apa izin Tuhan saya okay, Dia uji sikit sahaja. Jangan panik,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Sathiya memaklumkan sudah kembali aktif bekerja dan bakal terlibat menjayakan acara sambutan kemerdekaan bulan hadapan.
Bukan itu sahaja, Sathiya turut terlibat membintangi empat buah filem pelbagai bahasa iaitu Mandarin, Tamil dan bahasa Malaysia.
Terdahulu, Sathiya diserang penyakit angin ahmar selepas mengadu kebas kaki dan tangan ketika sedang bersarapan di rumahnya.
Menurut anaknya Vickyneswry atau Vicky, serangan tersebut adalah kali kedua selepas pertama kali dialami bapanya beberapa tahun lepas. – UTUSAN











