RUU Mufti: Kerajaan akan rujuk Majlis Raja-Raja minggu depan

RUU Mufti: Kerajaan akan rujuk Majlis Raja-Raja minggu depan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan merujuk Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 kepada Majlis Raja-Raja selepas mendapatkan pandangan pakar dalam bidang berkaitan, minggu depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tiada pertikaian berhubung Ahli Sunnah Wal Jamaah melalui RUU itu dengan merujuk kepada emoat mazhab dan pakar.

“RUU Mufti sedang dibincangkan dan mendengar pandangan, tidak ada pertikaian soal Ahli Sunnah Wal Jamaah  dan merujuk (mazhab) Syafie, Maliki, Hanafi dan Hambali serta pandangan lain.

“Cuma kadangkala perincian itu ada dibincangkan jadi saya serah kepada pakarnya dan kemudian akan dirujuk kepada Majlis Raja-Raja, minggu depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Forum Global Madani 2024, di sini, hari ini.

Terdahulu, Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail bertitah baginda tidak berkenan apabila nama Majlis Raja-Raja digunakan dalam usaha menyokong Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah Persekutuan).

Perkembangan itu dimaklumkan melalui Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam satu hantaran di Facebook semalam.

“Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail menitahkan saya memaklumkan bahawa baginda tidak berkenan nama Majlis Raja-Raja digunakan dalam usaha menyokong RUU Mufti Wilayah Persekutuan,” katanya.

Pada 2 Julai lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar membentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat berhubung tiga RUU membabitkan hal ehwal Islam di negara ini.

RUU Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024 merangkumi RUU Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 dan RUU Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024.

Menerusi RUU Mufti itu juga menyenaraikan berhubung penubuhan Jawatankuasa Fatwa Wilayah-Wilayah Persekutuan, Jawatankuasa Falak Syarie, Jawatankuasa Rukyah Hilal, Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam yang dipengerusikan oleh mufti.

Selain itu juga, ia mentakrifkan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari sudut akidah bersumberkan aliran Al-Asyairah, Al-Maturidiah dan fiqh Mazhab Syafie dengan meraikan tiga mazhab lain dan tasawuf Imam Ghazali dan Imam Junaid.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN