SHAH ALAM: Pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 membantu disifatkan mempermudahkan proses khidmat rawatan dan pemulihan penagih dadah secara sukarela di negara ini.
Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Shobah Jamil berkata, intipati pindaan Akta 283 itu antaranya memberi peluang dan galakan kepada golongan itu untuk hadir mendapatkan perkhidmatan berkenaan.
Menurutnya, langkah itu berupaya memperluaskan lagi usaha pemulihan individu yang mempunyai permasalahan dadah.
“Mereka akan mendapat perkhidmatan lebih cepat tanpa perlu melalui karenah birokrasi yang menjadi halangan dalam usaha merawat pulih selama ini.
“AADK ketika ini mempunyai lebih 1,800 pegawai pemulihan di seluruh negara yang diyakini mampu menguruskan perkhidmatan itu sebaik mungkin,” katanya ketika ditemui pada majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), hari ini.
Jalinan kerjasama strategik itu melibatkan pengurusan Pusat Pemulihan Baitul Islah bagi rawatan dan pemulihan bagi penagih dadah beragama Islam yang menghidap HIV atau AIDS.
Semalam, Dewan Rakyat meluluskan RUU berkenaan secara majoriti di mana ahli parlimen kerajaan dan pembangkang terlibat dalam sesi perbahasan selepas dibentangkan bagi bacaan kedua pada 9 Julai lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan kelulusan itu mampu memartabatkan peranan pegawai pemulihan AADK tanpa mengenepikan tanggungjawab pegawai perubatan.
Mengulas lanjut, Shobah menjelaskan, akta baharu itu turut memberi nafas baharu bagi kaedah pengurusan pusat pemulihan dan klien dalam komuniti.
“Ia antaranya menerusi penyediaan perkhidmatan yang lebih bersesusaian dan bersifat kemanusiaan.
“Pelaksanaan kaedah itu akan memberi lebih banyak peluang kepada klien untuk bersama masyarakat dan mengurangkan stigma sekaligus membantu proses pemulihan,” ujarnya.
Untuk rekod, AADK mempunyai lebih 100 pusat pemulihan dadah termasuk Sabah dan Sarawak serta 30 pejabat sedia ada agensi berkenaan. – UTUSAN










